Rencah Hidup

Sudah jadi kelaziman, buat salah minta maaf!

Kalau bukan orang femes, sila hati-hati

APA nak dihairankan kalau duit, kekayaaan, kuasa dan populariti mengatasi segala-galanya berbanding dengan rakyat biasa atau golongan marhaen yang tidak punya apa-apa.

Muak dan mual dalam perut jika individu yang sama membuat salah dan boleh terlepas daripada hukuman atau denda yang berat kerana berkemampuan untuk melunaskan apa juga denda yang dikenakan ke atas kesalahan yang dilakukan.

Seperti tidak serik, buat lagi dan lagi. Rentas daerah atau rentas negeri seolah-olah satu perkara yang main-main dan boleh dipermain-mainkan oleh mereka yang ada kedudukan atau bergelar.

Termasuklah jika kedudukan sebagai paling popular, buatlah apa sahaja, boleh minta maaf kemudian dan beri pencerahan.

Cara tidak menghalalkan perbuatan tetapi sudah buat, minta aje maaf kerana nama dan kedudukan serta pangkat, siapa berani nak sound tepat tepat?

Dalam pada kita semua bimbang kes Covid-19 meningkat, mencecah lebih 3,000 kes, orang lain apa peduli? Boleh lagi pergi belah belah di Nilai 1, 2, 3 atau pun buat majlis, tetamu yang gah-gah.

Sedangkan jual colek atau burger pun boleh dikenakan kompaun dengan jumlah kayangan, apa tah lagi kalau Raya nanti, banyak selipar bersusun depan pintu rumah, takut kena denda atau kompaun pula. Siapa nak bayar?

Kompaun yang dikenakan, masih boleh buat rayuan kalau belum dibawa ke mahkamah. Itu istilahnya, KALAU. Andai kata tempoh bayaran kompaun tamat, silalah panjat tangga mahkamah.

Sebut pasal kompaun 50k, teringat kenyataan individu ini.. katanya nak tolong bayar. Betulkah? Kalau betul, baguslah. Bantu sebab boleh aje buat kerja amal jariah tanpa menggunakan nama NGO yang diterajui.

Sekarang ni, kita tunggu dan lihat, siapa lagi yang femes, yang bergelar, yang langgar peraturan, tampil minta maaf dan lepas begitu sahaja.

Kita duduk rumah dan tidak perlu keluar jika tiada urusan penting, kita jaga diri dan kesihatan kerana kita adalah rakyat yang kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang.

Kalau dikenakan kompaun atau denda, duit itu boleh sahaja digunakan untuk makan minum keluarga, betul tak? – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button