Nasional
Subsidi RON95: Tidak semestinya pendapatan tinggi tidak layak
MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli berkatya, subsidi bersasar dilaksanakan ke atas pengguna petrol RON95 mulai pertengahan tahun hadapan berdasarkan mekanisme yang belum pernah digunakan sebelum ini.
Katanya, mekanisme baharu yang akan digunakan itu tidak lagi berdasarkan pendapatan semata mata tetapi turut diambil kira jumlah tanggungan keluarga untuk pengiraan kelayakan mendapat subsidi petrol.
Mekanisme pendapatan sebelum ini berdasarkan T20, M40 dan B40 tidak lagi berkesan berhadapan realiti baharu kehidupan. Oleh itu tahun hadapan akan diperkenal pengkelasan baharu T15 dan sebagainya berdasarkan pendapatan dan tanggungan keluarga.
“Bagi golongan yang berada di dalam 15% teratas dari segi kedudukan sosio-ekonomi, mereka akan membayar (petrol) harga pasaran.
“Maka ada yang terlebih laju dengan segera membuat kesimpulan T15 ini merujuk kepada pendapatan isi rumah semata-mata. Ini macam terlebih laju hebahkan menang perlumbaan sedangkan tak habis pun perlumbaan.
“Kalau set data itu merujuk kepada taburan pendapatan isi rumah seluruh Malaysia, maka T15 merujuk kepada isi rumah yang taburan pendapatannya adalah 15% paling tinggi.
“Tetapi kita sedia maklum bahawa kos sara hidup ini tidak boleh diukur berdasarkan pendapatan kasar semata-mata. Sudah tentu penentuan T15 ini adalah merujuk kepada taburan yang lebih adil, bukannya berdasarkan pendapatan kasar sahaja,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, proses untuk memuktamadkan kriteria yang menentukan kedudukan sosio-ekonomi untuk melayakkan perolehan subsidi sesebuah keluarga sedang berlaku.
Oleh itu katanya, pelbagai perbincangan mengenai kaedah yang lebih adil itu telah dibuat. Di parlimen pun, katanya, telah dinyatakan hasrat kerajaan untuk beralih dari pengukuran berdasarkan pendapatan kasar semata-mata.
Dengan itu katanya, pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 kelak akan lebih adil dan saksama.