Nasionalpilihan

Suami pukul isteri kerana didakwa mengambil duitnya

SEORANG isteri berusia 44 tahun cedera selepas dipukul suami yang menuduh mangsa mengambil duitnya dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Melati Utama.

Difahamkan, anak lelaki pasangan tersebut yang berusia 14 tahun turut dipukul bapanya ketika dia cuba meleraikan pergaduhan tersebut.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pihaknya mengesan kejadian tersebut selepas terdapat mesej tular di media sosial semalam.

“Hasil siasatan, kita mendapati pergaduhan tersebut berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi selepas suspek yang berusia 44 tahun menuduh isterinya mengambil wangnya.

“Mangsa kemudian hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan sekaligus menyebabkan suspek berang dan memukul mangsa serta anaknya yang cuba meleraikan pergaduhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ashari, anak mangsa kemudian telah memuat naik satu mesej berkenaan pergaduhan itu di media sosial dan telah menjadi tular.

Ujarnya, suspek yang menyedari tindakan tersebut kira-kira pukul 1.17 petang telah bertindak memukul anaknya sekali lagi.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju kerana bimbang dengan keselamatan diri serta ahli keluarga yang lain,” katanya.

Tambahnya, suspek kini telah ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat, boleh menyalurkannya dengan cara menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 585 atau mana-mana balai polis berhampiran. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button