KERAJAAN bercadang memperluaskan stesen minyak komersial di beberapa buah negeri yang bersempadan seperti Kedah, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, cadangan ini juga akan dibawa ke mesyuarat Kabinet, Jumaat ini.
“Kita berharap usaha ini akan membantu kerajaan untuk menangani isu ketirisan petrol subsidi ke negara jiran ditangani,” katanya pada sidang media, hari ini.
Sebelum itu, Salahuddin melancarkan Projek Rintis berkaitan Pembekalan Minyak Petrol RON 95 dan Diesel Tanpa Subsidi di Padang Besar.
Hadir sama Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusop.
Katanya, pihaknya akan melihat dahulu kejayaan projek rintis yang dilaksanakan di Perlis bagi tempoh tiga bulan iaitu dari Februari hingga April depan.
Katanya lagi, buat masa ini terdapat dua stesen minyak komersial di Perlis iaitu di Wang Kelian dan Padang Besar.
“Stesen minyak komersial ini juga dilihat akan dapat menyelesaikan isu ketirisan petrol subsidi yang menyebabkan negara rugi RM150 juta setahun,”ujar beliau.
Salahuddin berkata, KPDN juga bersedia untuk menyegerakan permohonan mana-mana pihak yang berminat mengusahakan stesyen minyak komersial yang bakal diperluaskan nanti:
Bagaimanapun, katanya, setiap permohonan itu mestilah mematuhi syarat yang ditetapkan sebelum diberikan lesen. – SM