SPRM serah dua pegawainya terlibat dengan Geng Nicky kepada polis
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan dua pegawainya dipercayai terlibat dengan kegiatan haram Geng Nicky.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, SPRM telah memberi kerjasama kepada pihak polis dengan menyerahkan kedua-dua pegawai berkenaan bagi membantu siasatan.
“Saya memandang serius dan tidak akan berkompromi dalam hal ini malah akan menyerahkan lagi mana-mana pegawai suruhanjaya sekiranya ada yang terlibat,” katanya.
Terdahulu Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberitahu dua pegawai SPRM berpangkat Penolong Pesuruhjaya dan Penguasa telah ditahan.
Kedua-dua mereka bertugas di Ibu pejabat SPRM Putrajaya.
“Kita turut menahan 10 pegawai polis iaitu dua pegawai berpangkat superintenden dan inspektor yang bertugas di Bukit Aman selain pegawai di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan,” katanya.
Tambahnya, kesemua mereka yang berusia 36 hingga 49 tahun ditahan dalam Op Pelican 3.0 Fasa 2 bermula 21 April hingga hari ini. -SM