Spritzer ajak rakyat Malaysia daftar program vaksinasi segera
Spritzer Malaysia (Spritzer), mengajak rakyat Malaysia supaya mendaftar untuk vaksinasi COVID-19 bagi melindungi diri dari jangkitan varian baharu.
Pengeluar air mineral semulajadi itu dalam kenyataannya berkata, seruan untuk mendaftar vaksinasi adalah perlu ketika ini berikutan varian baharu pandemik ini mudah berjangkit dan lebih berbahaya.
Bagi menyokong usaha itu, Spritzer telah bekerja rapat dengan petugas barisan hadapan seperti pasukan perubatan, pasukan polis, tentera dan agensi-agensi penguatkuasaan untuk memberi sokongan dari segi membekalkan air botol di seluruh negara.
“Memandangkan betapa seriusnya pandemik ini, Spritzer secara berterusan telah menyumbang air botol kepada beberapa pusat vaksinasi COVID-19 bagi menyokong petugas barisan hadapan, sukarelawan dan mereka yang pergi untuk divaksin, bagi memastikan keperluan paling asas mereka dijaga dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini di sini.
Di samping inisiatif-inisiatif itu, Spritzer juga menyokong pasukan Jabatan Pertahanan Awam yang ditugaskan mengebumikan mangsa Covid-19 di Lembah Klang.
Ujar syarikat, kini cuma separuh daripada penduduk negara ini yang baru mendaftarkan diri.
Dengan kadar jangkitan yang melonjak baru-baru ini, Spritzer memahami pengorbanan yang dilakukan oleh petugas barisan hadapan dan agensi penguatkuasaan semasa melaksanakan tanggungjawab mereka, terutama semasa cuaca yang sukar.
Tambah merumitkan di mana sistem penjagaan kesihatan negara berlaku kekurangan katil unit rawatan rapi dan pasukan perubatan yang teramat letih.
“Memandangkan kebanyakan kakitangan Spritzer belum memperolehi temujanji untuk vaksinasi, syarikat telah mengambil inisiatif untuk mendapatkan vaksin sebagai respon mengutamakan keselamatan dan kesihatan mereka dan berharap program vaksinasi ini akan bermula pada bulan ini” kata Spritzer lagi.
Sehubungan itu Spritzer berharap semua orang dapat memainkan peranan masing-masing di dalam melawan pandemik ini dengan mematuhi prosedur standard operasi seperti yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara dan juga mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan.