Solidariti UMNO untuk Covid-19
Kepimpinan UMNO disemua peringkat diseru bersolidariti dan berganding bahu dalam membantu usaha menangani pandemik Covid-19.
Perkara itu ditegaskan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, bahawa kepimpinan UMNO perlu menggiatkan usaha diperingkat masing-masing untuk menyokong segala inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan.
“Saya menyeru semua pihak di dalam kepimpinan UMNO disemua peringkat untuk berganding bahu menangani pandemik Covid-19 ini dalam pelbagai cara yang difikirkan sesuai, kerana situasi di negara kita hari ini kita perlukan solidariti. Kita tidak boleh membiarkan hanya pihak kerajaan atau Kementerian Kesihatan semata-mata melakukan segalanya”, kata Datuk Seri Mahdzir dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, peranan membantu kerajaan dan Kementerian Kesihatan perlu dipertingkatkan dan digerakkan oleh kepimpinan UMNO di seluruh negara.
Antara yang boleh digerakkan ialah mewujudkan pasukan Sukarelawan UMNO Untuk Covid-19, Unit Bergerak Vaksinasi di setiap kawasan Parlimen yang diwakili UMNO, Unit Kenderaan Khas bagi membawa orang ramai ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV), insentif kewangan, pengurusan pengkebumian jenazah pesakit Covid-19 dan bantuan keperluan peralatan atau makanan di Pusat Kuarantin.
“Ada banyak yang boleh kita sumbangkan sebenarnya berkaitan usaha menangani Covid-19 ini. UMNO sebenarnya sudah lama membawa naratif membantu rakyat dalam apa sahaja situasi, dan itulah yang perlu kita lakukan sekarang. Kita bukan bekerja membantu rakyat dan negara mengikut musim. Kita ada di mana-mana dan bila-bila masa sahaja bersama rakyat dan negara, itulah UMNO sebenarnya”.
Tambah Datuk Seri Mahdzir, dalam situasi kritikal yang dihadapi rakyat dan negara ketika ini, kepimpinan UMNO diseluruh peringkat perlu mengambil peluang untuk mendekati rakyat dengan menawarkan pelbagai bantuan yang diperlukan.
Kepimpinan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO juga perlu lebih agresif dalam menggerakkan jentera mereka turun padang membantu rakyat atau pihak berkuasa berkaitan Covid-19.
Rakyat ketika ini tegas beliau, sedang memerhati dan menilai setiap perkara yang dilakukan oleh kepimpinan UMNO.
“Kepada kepimpinan UMNO, Menteri Besar dan Ketua Menteri yang menggalas tanggungjawab diperingkat negeri diucapkan tahniah dan syabas atas segala inisiatif untuk melandaikan kes jangkitan Covid-19 di negeri masing masing. Manakala Pengerusi-Pengerusi Perhubungan UMNO di negeri-negeri juga kita rakamkan ucapan terima kasih walaupun bukan sebagai Menteri Besar, tetapi juga telah berusaha untuk membantu menjayakan usaha-usaha menangani Covid-19”.
Pucuk pimpinan UMNO diperingkat Pusat katanya, akan memberi sokongan penuh terhadap segala usaha dan inisiatif yang digerakkan diperingkat bawah dalam membantu jentera kerajaan menangani wabak itu.
“Sebagai Naib Presiden UMNO, saya nak jelaskan bahawa diperingkat pucuk pimpinan parti, kita tidak ada apa-apa halangan. Matlamat kita adalah untuk membantu usaha menangani pandemik Covid-19 ini dapat dilaksanakan dengan jayanya tanpa mengira situasi politik”.
“Bagi saya ini masanya kita berganding bahu dengan semua petugas di peringkat Parlimen untuk berjuang melawan Covid-19. Ingin saya tegaskan juga buat masa ini biarlah tumpuan kita kepada melawan Covid-19 terlebih dahulu. Kita ketepikan dahulu soal politik kepartian atau kepimpinan kerajaan. Bagi saya, ini bukan masanya lagi. Biarlah kita sama-sama berjuang melawan Covid-19 ini terlebih dahulu. Nyawa kita dan nyawa semua rakyat Malaysia adalah lebih utama buat masa sekarang ini”.