Sokong Musa, PKR pecat ADUN Inanam
PARTI Keadilan Rakyat (PKR) memecat serta-merta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam Kenny Chua Teck Ho.
Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim berkata, pihaknya bertindak berikutan Kenny turut berada dalam gambar bersama kumpulan Tan Sri Musa Aman yang mendakwa mempunyai jumlah wakil rakyat yang cukup untuk membentuk sebuah kerajaan baharu di Sabah.
“Setelah menerima pengesahan dari Majlis Pimpinan Negeri Sabah tentang keberadaan beliau di dalam blok yang berusaha menjatuhkan Kerajaan Negeri Sabah, dan mengambil kira pendirian PKR bahawa pengkhianatan terhadap mandat rakyat tidak boleh dibenarkan berlaku, maka Lembaga Disiplin mengumumkan bahawa Kenny Chua Teck Ho dipecat dari PKR berkuatkuasa serta-merta,” kata Ahmad.
Dalam sidang media tergempar yang dibuat di rumahnya semalam, bekas ketua menteri Sabah itu berkata, pihaknya akan membentuk gabungan baharu yang menyokong Perikatan Nasional (PN).
Selain Kenny, antara ADUN dari parti pemerintah yang berada di rumah Musa adalah Datuk Hamis Samad (Tanjung Batu), Datuk Osman Jamal (Balung) Datuk Muis Picho (Sebatik) dan Datuk Bolkiah Ismail (Pitas).-SM