SMKA Kangar dijangka siap Mac tahun depan
KANGAR – Projek Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kangar di Sena dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2026 yang melibatkan kerjasama di antara Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.
Ia merangkumi 20 bilik darjah, kemudahan asrama buat 300 orang pelajar lelaki dan 300 orang pelajar perempuan, kuaters guru, dewan sekolah dan beberapa kemudahan dan fasiliti lain yang mengikut piawaian yang telah ditetapkan.
Demikian dipersembah maklumkan oleh Pengarah JKR Perlis, Ir. Norikhwan Haji Abu Seman kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika Baginda berkenan berangkat mengadakan lawatan tapak projek tersebut sempena Kayuhan Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) Peringkat Negeri Perlis 2024.
Program tersebut disekalikan dengan aktiviti MAIPs Peduli yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kampung Sempering, Kangar.
Turut mengiring ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Kayuhan amal pada edisi kali ini turut disertai oleh Pengurusan Tertinggi JKR Perlis, ketua-ketua jabatan, agensi dan Persekutuan bagi menyantuni dan mendekati golongan asnaf yang kurang bernasib baik.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan untuk menyempurnakan sumbangan MAIPs kepada asnaf yang terpilih pada kali ini iaitu Che Azni Che Ani, 48 tahun dari Kampung Sempering, Minah Abdul Razak, 74 tahun dari Kampung Tanjong Sempering dan Shahidan Hamid, 64 tahun juga dari Kampung Sempering.
Setiap asnaf menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli dan juga beras fidyah serta sumbangan dari pihak JKR bagi tujuan meringankan beban dan menampung keperluan harian mereka.
Baginda turut berkenan mengadakan lawatan ke Khayu Homestay yang terletak di Jalan Santan, Kampung Sempering bagi membantu menyemarakkan lagi kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025. Homestay
Ini berkonsepkan kayu dan tradisional. Rumah inap ini menawarkan suasana kampung yang aman, dikelilingi sawah padi serta dilengkapi penghawa dingin dan keperluan asas lain yang menjadi pilihan para pelancongan terutamanya ketika cuti umum dan cuti sekolah.