Ekonomi

SMEO meterai MoU perluas pengeluaran, pengedaran peluru, senjata kecil

SME Ordnance (SMEO), anak syarikat National Aerospace and Defence Industries Sdn. Bhd. mengumumkan dua lagi kerjasama strategik yang dimeterai semasa DSA Malaysia 2024 bagi meningkatkan pengeluaran dan pengedaran peluru senjata kecil dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

Pertama, SMEO menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan SAC Arms Sdn. Bhd., pengedar utama peluru berkaliber kecil.

Kerjasama ini satu langkah penting dalam memenuhi permintaan pasaran pertahanan yang semakin meningkat. Menerusi kerjasama ini, SMEO dan SAC Arms Sdn. Bhd. akan menggabungkan kepakaran dan sumber kedua-dua buah syarikat untuk mengoptimumkan proses pengeluaran, memastikan kualiti produk, dan meneroka peluang dalam bidang penyelidikan dan pembangunan.

Kerjasama ini menyerlahkan komitmen bersama kedua-dua syarikat terhadap kecemerlangan, inovasi dan kepuasan pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif SMEO, Datuk Shah Eikhmarizan Mohd Shahrom berkata, dengan kerjasama tersebut mereka dan SAC Arms akan meningkatkan keupayaan dalam pengeluaran peluru senjata kecil.

“Kerjasama ini menzahirkan komitmen kami dalam menghasilkan produk peluru berkualiti tinggi untuk pelanggan kami di samping memacu inovasi dan kecekapan operasi kami,” katanya dalam kenyataan.

SMEO sebelum ini menandatangani perjanjian kontrak bernilai RM40 juta pada 2022 dengan SAC Arms selama lima tahun untuk menghasilkan dan mengedar pelbagai peluru senapang patah bagi pasaran komersial tempatan.

“Kami teruja untuk bergabung tenaga dengan SMEO bagi mengukuhkan kedudukan kami dalam pasaran pertahanan apabila mengambil kira pengetahuan dan pengalaman selama berpuluh-puluh tahun yang dimiliki oleh SMEO,” kata Pengarah Urusan SAC Arms Sdn Bhd, Tan San Kwang.

Katanya, mereka  yakin dengan kepakaran dan sumber kami, kami akan lebih berupaya untuk memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang dengan teknologi yang terkini.

Di samping itu, SMEO juga menjalinkan kerjasama strategik dengan PT. Dwimitra Pasifik Internasional, pengedar berlesen senjata api dan produk berkaitan yang berpangkalan di Jakarta, Indonesia.

Kerjasama itu bertujuan  memenuhi permintaan terhadap peluru sukan menembak premium di seluruh Indonesia yang semakin meningkat.

MoU tersebut menggariskan komitmen SMEO untuk membekalkan rangkaian produk peluru berkualiti khusus untuk menggiatkan aktiviti sukan menembak di Indonesia. Kerjasama ini juga melambangkan komitmen bersama untuk meningkatkan kualiti dan ketersediaan peralatan berkaitan sukan menembak di Indonesia, sebuah negara dengan perkembangan minat sukan menembak kompetitif yang semakin menggalakkan. 

Di bawah terma Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara SME Ordnance dan Dwimitra Pasifik Internasional, SME Ordnance akan membekalkan dan menghantar lima belas juta (15,000,000) butir peluru berkualiti dalam tempoh tiga tahun.

Produk ini akan disesuaikan untuk menggiatkan aktiviti sukan menembak di Indonesia. Kerjasama ini juga melambangkan komitmen SME Ordnance terhadap kecemerlangan dan strateginya untuk meluaskan kehadirannya dalam pasaran Asia Tenggara dan seterusnya.

Dwimitra Pasifik Internasional membekalkan pelbagai jenis senjata api, merangkumi senapang dan pistol generik serta khusus, dan pelbagai aksesori, komponen, alat ganti dan peralatan berkaitan untuk keperluan khas peminat sukan menembak.

Terlibat secara aktif dalam Kelab Menembak Indonesia yang dikenali sebagai PERBAKIN (Persatuan Menembak Indonesia), Dwimitra ialah pengedar eksklusif untuk senjata api terkenal yang diiktiraf IPSC seperti Battle Arms Development USA, Nighthawk, dan ANGSTADT ARMS.

Pengerusi Eksekutif SME Ordnance, Jeneral Tan Sri Mohd Shahrom Nordin berkata, pemeteraian MoU itu merupakan detik-detik penting bagi SME Ordnance dalam usaha kami untuk terus menjayakan misi bagi menghasilkan peluru berkualiti tinggi bagi kegunaan pasaran global.

“Rekod prestasi kami yang dipercayai dan berkualiti, di samping rangkaian pengedaran kukuh rakan kongsi kami, akan memastikan pelanggan mendapat akses kepada produk terbaik untuk kegunaan mereka,”

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button