SME Bank bawa Usahawan O&G tempatan ke pasaran global
SEMBILAN buah syarikat Malaysia dalam industri minyak dan gas yang merupakan peserta Business Exports Programme (BEP) SME Bank dan Program Pembangunan Kapasiti & Keupayaan Vendor (PPKV) telah mengambil bahagian dalam Misi Pecutan Eksport (EAM) ke Abu Dhabi sempena Pameran dan Persidangan Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi (ADIPEC) 2022 dari 30 Oktober hingga 4 November.
Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail berkata, “Memandangkan asas ekonomi kita bertambah baik, terdapat keperluan segera untuk PKS tempatan berkembang dan menjadikan kehadiran mereka dirasai diperingkat global.
BEP dan PPKV adalah platform terbaik untuk mereka merebut peluang dan meluaskan rangkaian pasaran. Melihat kepada kesan positif prestasi eksport PKS, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah menyalurkan dana bernilai RM9.5 juta untuk pelaksanaan BEP dan RM5.48 juta untuk pelaksanaan PPKV.”
Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulan SME Bank yang mengetuai misi ke Abu Dhabi mengulas, “Bagi BEP, matlamatnya adalah untuk memupuk dan membangunkan lebih ramai pengeksport Bumiputera bagi tempoh 2020-2025.
SME Bank menyasarkan 47 buah syarikat untuk memasuki pasaran baharu atau mengembangkan pasaran sedia ada dan merekodkan jualan eksport tambahan. Manakala bagi PPKV, matlamatnya adalah untuk meningkatkan penglibatan syarikat vendor dalam pasaran domestik dan menembusi pasaran antarabangsa melalui akreditasi dan pensijilan serta memastikan syarikat vendor lebih berdaya saing dan berdaya tahan serta didorong oleh penggunaan teknologi.”
Datuk Wira Aria menambah, “Kami yakin matlamat ini boleh dicapai dengan melihat kepada jumlah hasil eksport yang dicatatkan oleh 25 buah syarikat BEP pada 2021. Sebelum menyertai BEP, syarikat-syarikat ini secara kolektif mencatatkan RM29.53 juta jumlah hasil eksport dan selepas menyertai BEP, mereka mencatatkan RM37.36 juta hasil eksport, menunjukkan pertumbuhan ketara sebanyak 27%.
Selain itu, SME Bank telah meluluskan pembiayaan untuk lapan syarikat BEP bernilai RM86.15 juta yang mana pembiayaan ini digunakan untuk mengembangkan dan membangunkan operasi perniagaan mereka.”
PPKV ialah program untuk membina kapasiti dan keupayaan untuk syarikat vendor yang memberi tumpuan kepada keperluan pasaran serta mengoptimumkan produktiviti syarikat. Sehingga Oktober 2022, 26 permohonan telah diluluskan dengan geran bernilai lebih RM2 juta untuk program pembinaan kapasiti dan pembelian mesin atau menaik taraf sistem.
Program-program ini menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di bawah inisiatif untuk mempelbagaikan eksport negara dan mengurangkan kebergantungan kepada eksport minyak dan gas. Di samping itu, program ini juga dijangka mencapai Teras 6 Dasar Keusahawanan Negara (DKN) 2030 iaitu, mengantarabangsakan perusahaan Bumiputera berprestasi tinggi untuk menembusi pasaran eksport.
Misi Pecutan Eksport (EAM) ke Abu Dhabi adalah kerjasama antara SME Bank, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE). – SM
Artikel berkaitan > Program SME BANK 90-Days Biz Challenge lahir usahawan siswazah berilmu dan berdaya saing