Sukan

Skuad bola sepak Palestin anggap Malaysia rumah pertama

PEMAIN tengah Palestin, Bassim Ahmed Rashid menyifatkan Malaysia  yang ditetapkan pasukan untuk kelayakan Piala Dunia tempat sendiri, sebagai rumah pertama mereka.

Beliau berkata sokongan padu peminat bola sepak Malaysia dan solidariti mereka dengan Palestin membuatkan skuad itu berasa sangat selesa.

Bassim berkata, kemudahan yang disediakan di Malaysia untuk latihan akan memberi manfaat besar kepada skuadnya ketika mereka bersedia untuk bersaing pada pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Korea Selatan dan Jordan September ini.

“Saya telah melihat banyak kelab memberikan sokongan dan cinta kepada Palestin.

“Ia akan menjadi tempat sendiri. Saya tidak fikir saya akan mengatakan ia adalah rumah kedua. Saya akan mengatakan ia adalah rumah pertama kami.

“Sukar untuk bermain di Palestin. Kem di sini selama lima hari sebelum kita ke Korea Selatan akan memberi manfaat. Semoga ia dapat membantu kami dalam perlawanan menentang Korea Selatan dan Jordan,” katanya pada sesi latihan di Stadium Kuala Lumpur di Cheras hari ini.

Skuad yang diketuai jurulatih Tunisia Makram Daboud tiba di Malaysia pada Isnin untuk membuat persiapan menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Korea Selatan selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyediakan kemudahan dan sumber kepada mereka.

Palestin, yang menduduki ranking ke-96 dunia, akan menentang Korea Selatan di Seoul pada 5 Sept, kemudian kembali ke Malaysia untuk menentang Jordan dalam perlawanan kedua Kumpulan B pada 10 Sept.

Persatuan Bola Sepak Palestin telah memilih Malaysia sebagai venue untuk perlawanan rumah pasukan kebangsaannya menentang Jordan.

FAM telah diberi tanggungjawab untuk menguruskan perlawanan dari segi operasi dan aspek teknikal, termasuk latihan berpusat pasukan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button