Jenayah

SKMM siasat lelaki muat kenyataan jelik sentuh sensitiviti kaum

SKMM telah merakamkan kenyataan seorang pegawai perkhidmatan pelanggan yang didakwa memuat naik kandungan keterlaluan yang menyinggung perasaan dan menyentuh sensitiviti kaum.

Suruhanjaya itu berkata telefon pintar dan kad sim milik lelaki berkenaan turut dirampas untuk analisis forensik.

“Rakaman percakapan suspek juga telah diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” kata SKMM dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, suruhanjaya itu mengulangi peringatan agar orang ramai tidak memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan atau pandangan yang berbaur kebencian membabitkan elemen 3R (perkauman, agama dan Institusi Raja-raja) di media sosial dan aplikasi pemesejan.

“Tindakan penguatkuasaan bersama PDRM akan diambil secara berterusan terhadap mereka yang terlibat, mengikut peruntukan undang-undang sedia ada demi melindungi keharmonian dan ketenteraman awam,” kata SKMM.

Sepeti lazimnya, suruhanjaya itu tidak menamakan individu yang disiasat, kerana kes masih belum dibawa ke mahkamah.

Rabu lalu, Kementerian Perpaduan Negara memfailkan laporan kepada SKMM berhubung hantaran seorang pengguna media sosial yang didakwa mencetuskan kebencian kaum dengan menggesa rusuhan 13 Mei diulangi, susulan kontroversi pemindahan kuil di Kuala Lumpur.

Pengguna X, yang dikenali sebagai Amir Ridhwaan, itu mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman yang melampau, dengan menulis “sekarang ni memang elok perang je Melayu dengan Keling ni. Baru dorang tahu tempat dorang kat mana.”

Dia turut menghina komuniti India dengan menyifatkan mereka sebagai “bodoh” dan menuduh mereka membina “kuil beratus-ratus di tanah haram” walaupun hanya mewakili tujuh peratus daripada penduduk negara ini.

Sebelum ini, SKMM merakamkan kenytaan dua pentadbir sebuah kumpulan Facebook, juga berhubung perselisihan mengenai kuil Hindu.

Suruhanjaya itu berkata ia telah memfailkan 110 permintaan alih keluar kepada Meta, pemilik Facebook supaya mengalih keluar kandungan yang didakwa bersifat perkauman oleh kumpulan yang menyinggung perasaan, Susulan itu, 106 daripadanya telah dialih keluar selepas didapati melanggar garis panduan komuniti.

Isu itu tercetus dengan kontroversi mengenai pemindahan kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur, yang akan dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah masjid.

Isu itu berjaya diselesaikan apabila jawatankuasa kuil mencapai persetujuan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berhubung pemindahan tersebut dengan diberikan tapak baru.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button