Politik

Sindrom stres politik

Oleh Datuk Dr. Hasan Mad
Setiausaha Agung
Majlis Perundingan Melayu (MPM)

DEK terlalu lama berenang melawan ombak politik yang tak surut-surut sejak PRU 12 pada 8 Mac 2008, ramai rakyat Malaysia alami sindrom stres politik.

Anehnya, yang terkesan sangat dek sindrom ini ialah dikalangan orang politik. Pada hemat kami, orang poltik yang nampaknya semakin stres.

Stres mereka seolah-olah konflik politik yang diharungi sekian lama seumpama tiada kesudahannya.

Rakyat biasa dikalangan pengundi, mampu meneruskan kehidupan seharian dan semakin mampu menyesuaikan diri dengan perubahan politik yang semakin berwarna- warni.

Stres dikalangan rakyat lebih berbentuk stres kehidupan dek suasana ekonomi yang semakin sukar diramal.

Ada juga stres berpunca dari isu kemasyarakatan atau kejiranan kerana hubungan etnik diantara mereka tidak semesra dulu-dulu kala.

Terkini stress mereka ditokok-tambah oleh gejala wabak COVID 19 yang menyerang tanpa amaran.

Selepas perolehi kemenangan landslide dalam PRU 11 pada tahun 2004, BN terkejut dan terus terkedu apabila mampu menang hanya dengan majoriti mudah dalam PRU12.

Selepas alami kejutan itu, BN gagal bangkit. Dalam PRU13 ia menang sekadar nyawa-nyawa ikan.

Ia diparahkan lagi dek gelora dalam UMNO yang menyaksikan orang kuatnya meninggalkan parti itu, membentuk parti baru dengan nama hampir kembar-seiras dengannya, PPBM. Dalam PRU 14, PPBMlah perancang utama membentuk PH menumbangkan BN.

Malangnya, PH yang turut dianggotai tiga lagi parti komponen yang sekian lama berperanan sebagai pembangkang, bila menang PRU14 dan memegang tampok pemerintahan Negara, mereka ibarat ‘kera dapat bunga’. Selang 22 bulan memerintah, akhirnya mereka tumbang.

BN yang retak seribu dek kekalahan dalam PRU14, sekadar mampu bertahan.

Penghijrahan begitu ramai orang kuat UMNO menyertai PPBM menambah deritanya.

Akhirnya mereka berjaya mencari ‘rakan politik baru’, iaitu PAS, yang terpisah darinya lebih 4 dekad yang lalu.

Secara peribadi saya kagum dengan pendirian orang PAS. Merekalah satu-satunya parti politik orang Melayu yang paling kurang meroyan.

Kami di MPM, sejak September 2010 lagi sudah bekerjasama dengan kepimpinan tertinggi mereka, membicarakan agenda muafakat ummah, maka kami amat arif akan tahap kemampuan mereka tangani sindrom stres politik.

MAJLIS PERUNDINGAN MELAYU (1200237-A)
Wisma MPM (Bina Daulah)
No. 371-4, Jalan Ledang, off Jalan Duta 50480 KUALA LUMPUR
Tel: 603-20986101; Fax: 603-20116101 Email: [email protected]

Alhamdulillah, selang lebih setahun berperanan sebagai pembangkang, UMNO akhirnya membina agenda kesepakatan baru di luar lingkaran BN, sekalipun pada mulanya ditentang oleh sekutu tradisional mereka dalam Perikatan dulu.

Mujurlah kepimpinan UMNO mampu bertegas dan akhirnya agenda muafakat ummah UMNO- PAS direstui oleh sekutunya itu.

Yang saya terkilan ialah belum pun ke mana agenda muafakat ummah dengan codename HPU 914 itu, ia telah dijenamakan semula sebagai muafakat nasional, demi menjaga hati sekutu UMNO dalam BN.

Saya masih dihantui dengan kesangsian akan keakraban muafakat diantara UMNO dengan PAS.

Dulu pun pihak yang gagalkan usaha muafakat ummah yang kami rencanakan diantara UMNO dengan PAS, ialah dikalangan kepimpinan tertinggi UMNO.

Kali ini pun jika ditakdirkan PAS memberikan respon sepi kepada agenda muafakat nasional ini, pada telahan saya ialah kerana mereka berjauh hati semula dengan beberapa kerat dikalangan kepimpinan UMNO. Hendaknya telahan saya itu sesuatu yang karut.

Kerancakan agenda muafakat nasional sebenarnya menjadi igauan kepada PH yang memerintah.

Mulanya beberapa pemimpin tertinggi DAP membuat pelbagai ramalan karut-marut, termasuyk tohmahan kononnya jika kerajaan muafakat nasional kembali memerintah, Negara ini akan menjadi seperti Taliban.

Masha-Allah, sampai begitu sekali takutnya mereka, sehinggakan mereka hilang fokas kepada pemerintahan kerajaan yang sepatutnya mereka genggam erat.

Bila mereka hilang fokas, semakin menjadi-jadilah kerakusannya kepada kuasa, seolah-olah membayangkan mereka hanya akan memerintah kerajaan ini untuk tempoh sepenggal saja.

Saban hari mereka lakukan semakin banyak kesilapan, sehinggakan sindrom trust deficit yang sekian lama menghambat kerajaan BN, ia beralih menakutkan kerajaan PH.

Dipenghujung riwayatnya mentadbir kerajaan, trust deficit terhadap PH semakin ketara, terutama dikalangan pengundi bukan-Melayu.

Jelas sekali kerajaan PH yang dikuasai DAP gagal membina minda kepimpinan mereka untuk menjadi pemerintah.

Natijahnya, bukan saja pemimpin mereka alami sindrom stres politik yang luar biasa, cybertroopers mereka pun tak semena-mena diam membisu.

Penyudahnya, apa yang mampu mereka laungkan hanyalah tuduhan terhadap pembangkang merampas kerajaan dari mereka ‘menerusi pintu belakang’.

Mengapalah para pakar perlembagaan mereka yang begitu ramai gagal menasihatkan bahawsanya kejatuhan PH sebenarnya bukan ‘rampasan kuasa mengikut pintu belakang’ tetapi ibarat kekalahan dalam perlawanan bolasepak dimana pemain mereka tertendang masuk gol ke gawang sendiri.

Mereka enggan terima kekalahan dari kesilapan percaturan politik mereka sendiri. Inilah bahananya bila alami sindrom stres politik yang keterlaluan.

Episod stres politik dikalangan orang politik tidak berakhir di situ saja. PH yang kalah masih mencari ikhtiar untuk menang kembali, dengan apa cara sekalipun, tatkala dua pemimpin kanan mereka terus bertelagah secara terbuka sesama mereka.

UMNO pula yang belum pun sempat memahirkan diri sebagai pembangkang, tersentak, dikejutkan dengan realiti dapat mendakap kembali kerajaan yang pernah mereka genggam erat sekian lama.

Pun begitu, belum pun kemana ia perolehi ‘peluang kedua’ itu untuk kembali memerintah sebagai sebahagian dari PN, suara-suara sumbang dari beberapa orang dikalangan pemimpin mereka sudah mula kedengaran.

Bak senikata lagu nyanyian Tan Sri S.M Salim, ‘apa dah jadi’, secara tetiba, ramai yang mula meroyan.

Yang anehnya, sasaran suara-suara sumbang itu ialah terhadap sekutu mereka dalam PPBM yang suatu masa dulu adalah darah-daging bersamanya dalam UMNO.

Secara rasionalnya, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang, sepatutnya mereka lebih redha menerima antara satu sama lain, ibarat ‘biduk lalu kiambang bertaut’.

Tapi nampaknya ia tidak begitu.
Orang seperti saya ini yang sentiasa berada di luar pagar politik, nampak dengan jelas gelagat mereka di dalam sana.

Kesian mereka, stres politik yang dialami sekian lama, masih belum reda-reda, malah khabarnya, suhu politik semakin meningkat.

Bilalah agaknya stres dan suhu politik ini akan reda dan mereka boleh alami kehidupan yang ceria seperti kami di luar sini.

Agaknya kerana saya bukan orang politik maka tidaklah dapat saya fahami istilah kemakmuran kehidupan tanpa kuasa politik dalam dakapan.

Sesungguhnya saya masih gagal menyelami kehendak dan naluri orang politik.

Seenaknya saya berbicara topik ini hanyalah kerana stres dan suhu politik saya masih ditahap rendah dan terkawal.

Akhir qalam, sekali lagi saya tekankan di sini, saya kagum dengan rakan-rakan saya dalam kepimpinan PAS.

Mereka nampaknya redha dan memahami bahawasanya tugas politik yang mereka galas itu adalah satu amanah yang perlukan pengorbanan.

Moga saya dapat menjiwai semangat mereka itu, untuk saya lebih memahami dan menerima keredhaan Allah SWT, dalam erti kata yang sebenarnya. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button