Sindiket penipuan jualan atas talian tumpas, 10 ditahan
POLIS menahan 10 individu yang terlibat dengan sindiket penipuan e-commerce melibatkan kerugian berjumlah RM50,000 dalam beberapa serbuan pada 25 Jun lalu.
Difahamkan, sindiket sudah beroperasi sejak Mac lalu dan serbuan dilakukan di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang, Perak, Kedah dan Kelantan.
Hasil serbuan, sebanyak 10 individu iaitu enam lelaki dan empat wanita berusia lingkungan 21 dan 52 tahun ditahan.
Empat daripada suspek merupakan pemilik akaun manakala bakinya adalah pemilik alamat IP yang digunakan untuk menipu mangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, siasatan mendapati suspek mengiklankan barangan mereka melalui platform e-commerce.
“Pembeli yang berminat kemudian akan dihubungi dan diarahkan untuk berurusan secara terus dengan suspek. Namun selepas bayaran dibuat, barangan yang dijanjikan tidak diterima.
“Antara barangan yang dijual adalah barangan elektronik seperti tablet dan telefon. Menerusi penahanan kesemua suspek ini, kita percaya sekurang-kurangnya 28 kes yang berkaitan dapat diselesaikan,” katanya.
Menurut Mohd Kamarudin, selain tangkapan, pihaknya turut merampas tujuh telefon bimbit, tiga komputer riba, 10 keping kad kredit, tiga modem, satu monitor dan satu pasport Bangladesh.
Jelasnya, kesemua suspek kini disiasat di bawah Seksyan 420 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, ujarnya, statistik kes penipuan penjualan secara atas talian pada tahun lalu meningkat sebanyak 5,845 kes berbanding pada 2019 iaitu 3,156 kes.
“Pada tahun ini pula, sehingga 20 Jun lalu, sebanyak 4,364 kes penipuan dicatatkan,” katanya.
Tambahnya, orang ramai digalakkan untuk membuatkan semakan pengesahan akaun bank dan telefon bimbit menerusi laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule untuk mengenal pasti sama ada akaun tersebut pernah terlibat dengan kes penipuan atau tidak. -SM