Sindiket keluarkan pas lawatan kerja sementara palsu didalangi ‘Datuk’ ditumpaskan
SINDIKET utama yang menggodam sistem Imigresen dan mengeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu akhirnya ditumpaskan hasil kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Imigresen.
Menurut sumber, lima individu termasuk ketua sindiket yang bergelar Datuk telah ditahan dalam operasi besar-besaran di 22 lokasi sekitar Kuala Lumpur sejak awal pagi tadi.
“Kesemua berusia antara 33 tahun hingga 43 tahun telah ditahan hasil risikan yang dijalankan oleh SPRM dan JIM sejak setahun yang lalu.
“Sindiket ini dengan kerjasama “orang dalam” telah berjaya mengodam pengkalan data JIM dengan memasang transmiter untuk membolehkan anggota sindiket untuk menukar kata laluan pegawai imigresen dan seterusnya mencetak PLKS dari pusat operasi mereka di luar pejabat JIM.
“Ini merupakan suatu pencerobohan ke dalam pengkalan data agensi kerajaan dan merupakan isu kebocoran keselamatan yang sangat serius,” katanya.
Menurut sumber, keupayaan ahli-ahli sindiket mengodam sistem komputer JIM membolehkan mereka mencetak PLKS dan menjualnya kepada warga asing yang bekerja secara haram di negara ini dengan anggaran bayaran sebanyak RM6,000 hingga RM8,000 bagi setiap pas.
Ujarnya, isu ini pernah dibangkitkan dalam Laporan Audit dan dibincangkan di Parlimen mengenai ketirisan hasil kerajaan dan kebocoran sistem keselamatan negara.
“Yang lebih mengerunkan di mana, sindiket ini juga berupaya membuka dan menutup semula status “senarai hitam” atau “red alert” seseorang individu untuk membolehkan beliau melepasi sekatan imigresen di lapangan terbang dengan bayaran tertentu,” katanya.
Jelasnya, hasil serbuan juga berjaya merampas peralatan komputer termasuk dua sistem komputer klon dan transmiter yang digunakan sindiket ini.
Menurut sumber, sindiket ini dipercayai beroperasi di salah sebuah hotel terkemuka di Jalan Sultan Ismail dan mereka sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain termasuk hotel-hotel mewah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut dan siasatan dijalankan dibawah Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
“Siasatan ke atas kes ini akan dibuat secara menyeluruh dan memastikan kesemua ahli sindiket termasuk “orang dalam” dikenakan tindakan yang sewajarnya,”katanya.
SPRM juga memuji ketegasan Ketua Pengarah JIM kerana sanggup mendedahkan kepincangan yang berlaku dan memberikan kerjasama penuh risikan dalam kes ini. -SM