Nasional

Sindiket Ah Long makan besar bila ramai hilang kerja akibat Covid-19

SEBANYAK 1,987 kes penipuan pinjaman wang tidak wujud atau lebih dikenali sebagai Ah Long dilaporkan dengan jumlah kerugian mencecah lebih RM20 juta sejak Januari lalu hingga kini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, kemelesetan ekonomi ekoran pandemik Covid-19 dilihat antara punca kes penipuan itu meningkat.

“Kebanyakan institusi kewangan seperti bank atau syarikat kewangan yang berlesen mengenakan syarat yang ketat sebelum meluluskan pinjaman.

“Situasi itu dilihat sebagai peluang oleh sindiket penipuan pinjaman wang dan mempromosikan pinjaman dengan kadar faedah rendah, proses pinjaman yang cepat dan mudah unutk menarik perhatian mangsa,” katanya.

Menurut Zainuddin, mangsa yang terdesak berkemungkinan kerana kehilangan pekerjaan atau mempunyai masalah kewangan akibat pandemik akan menggunakan mereka untuk memastikan kelangsungan hidup dapat diteruskan.

Ujarnya, mangsa yang berminat kemudian akan dihubungi oleh pihak sindiket dan diminta untuk membuat pembayaran pendahuluan sebelum pinjaman mereka diluluskan.

“Pelbagai alasan digunakan sindiket tersebut utuk mendapat bayaran tersebut antaranya ialah legal fee, agreement fee, credit increase fee, CCRIS/CTOS fee, LHDN fee, account activation fee dan sebagainya.

“Namun, setelah bayaran dibuat, pinjaman yang dijanjikan tetap tidak diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Zainuddin lagi, berdasarkan rekod pada tahun 2019, sebanyak 5,039 kes telah dilaporkan dengan jumlah kerugian sebanyak lebih RM48 juta.

Katanya, jumlah kes itu meningkat pada tahun lalu kepada 5,718 kes dengan jumlah kerugian sebanyak RM62 juta.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kepada orang ramai bahawa tiada sebarang bayaran wang akan dikenakan sebelum permohonan pinjaman diluluskan.

Orang ramai juga boleh membuat semakan syarikat atau institusi kewangan yang berdafatar menerusi laman sesawang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button