Sukan

Keputusan berat sebelah ragut peluang Malaysia

Aspek pemarkahan bagi sukan subjektif terus menjadi pertikaian dalam kalangan jurulatih setelah Malaysia sekadar meraih satu pingat emas dan satu gangsa pada hari pembukaan acara pencak silat Sukan SEA ke-30 di Pusat Konvensyen dan Pameran Subic, hari ini.

Perkara berkenaan diakui sendiri oleh jurulatih negara, Nazri Nasir yang terkejut dengan beberapa keputusan diambil wasit pertandingan setelah memberikan kemenangan kepada peserta tuan rumah, Edmar Tacuel yang mencatat mata tertinggi dalam kategori tunggal putra iaitu 470 mata di belakang dua pesilat lain, iaitu Muhammad Iqbal Abdul Rahman dari Singapura (461 mata) dan wakil Indonesia, Dino Sulistianto (460 mata).

Pesilat negara Luqman Laji menduduki tempat keempat daripada lapan pesilat setelah mengumpul 456 mata.

Nazri, bagaimanapun, berpuas hati dengan pencapaian yang dilakar pesilat di bawah kendaliannya yang mempamerkan aksi cemerlang dalam empat acara pada hari ini,

“Cuma tunggal putra itu kita sepatutnya dapat pingat tetapi gagal di situ. Pada pendapat saya, regu putra kita sepatutnya dapat sekurang-kurangnya kedudukan kedua, tetapi nasib tidak menyebelahi kita,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Dalam pada itu, Nazri optimis pesilat baharu, Nur Syafiqah Hamzah mampu melakar kejutan dengan meraih pingat emas dalam acara tunggal puteri pada hari kedua acara pencak silat, esok.

“Ini merupakan penampilan kali pertama Nur Syafiqah pada Sukan SEA, dan saya berharap beliau dapat membuat persembahan terbaik dan saya harapkan bonus daripada beliau untuk menyumbang pingat emas untuk negara,” jelas Nazri.

Pada aksi hari ini, gandingan Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga menyumbang emas tunggal untuk Malaysia setelah mengungguli acara ganda putra dengan kutipan 564 mata, manakala gangsa hadir menerusi pesilat trio, iaitu, Muhammad Syafiq Ibrahim, Mohd Juned Abdullah dan Nashrul Edzam Mohd Asri dalam acara regu putra.

Selain acara silat seni, Malaysia bakal beraksi dalam beberapa kategori silat olahraga yang membuka gelanggang, esok.– BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button