Ekonomi

Siemens tandatangan MoU dengan Dhaya Maju

BERLIN 27 Sept. – Siemens Mobility Sdn. Bhd. menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn. Bhd. di Berlin, Jerman pada isnin.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Asia Pasifik, Michel Obadia dan Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia, Ben Chong Kok Pen mewakili Siemens Mobility Sdn. Bhd.. Sementara itu bagi pihak Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn. Bhd. pula ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Dr. Subramaniam Pillai dan Pengerusinya, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Panglima Mohamed Azumi Mohamed (Rtd.).

Foto : Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn. Bhd.

Pemeteraian bersejarah yang disaksikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail tersebut diadakan sempena ‘InnoTrans 2024’ yang merupakan Pameran Perdagangan Antarabangsa bagi Teknologi Pengangkutan Keretapi yang berlangsung di Berlin, Jerman bermula 24 sehingga 27 September 2024.

Menurut kenyataan media Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn. Bhd., turut hadir ialah Duta Besar Malaysia ke Jerman, Datin Paduka Dr. Adina Kamarudin.

Kerjasama antara Siemens Mobility Sdn Bhd dan Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn. Bhd. ini merupakan satu inisiatif transformasi yang bertujuan untuk mempertingkatkan industri rel Malaysia melalui penerapan teknologi digitalisasi terkini.

Inisiatif ini juga dijangka mampu merevolusikan sistem kereta api Malaysia dengan meningkatkan kapasiti, mengurangkan kelewatan, meningkatkan keselamatan, serta mengurangkan kos operasi. Ini akan membawa kepada perkhidmatan kereta api yang lebih cekap dan boleh dipercayai untuk rakyat Malaysia.

Perjanjian ini juga menandakan satu langkah penting ke arah mewujudkan rangkaian rel yang lebih efisien dan moden di Malaysia, selaras dengan visi negara untuk meningkatkan infrastruktur pengangkutan awam demi manfaat generasi masa depan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button