PolitikUncategorized

Siapa sebenarnya kerajaan derhaka, gagal dan kleptokrasi?

DERHAKA kepada Yang di-Pertuan Agong merupakan kesalahan yang besar. Orang Melayu sangat sensitif dengan pemimpin yang derhaka kepada raja-raja Melayu tidak akan diterima.

Tuduhan yang berat itu akan menjadi beban bagi sesebuah kerajaan atau pemimpin untuk berdepan dengan rakyat.

Jadi tidak hairan apabila pihak pembangkang dan sebilangan pemimpin UMNO bersungguh-sungguh melabelkan kerajaan yang ada hari ini sebagai kerajaan gagal dan derhaka.

Kerajaan hari ini dituduh gagal kerana tidak mampu mengekang penularan wabak Covid-19, walaupun mereka sendiri tahu bahawa seluruh dunia sedang bergelut dengan krisis kesihatan.

Ia sudah menjadi isu global dan bukan hanya dihadapi oleh Malaysia, bahkan seluruh dunia dan tidak ada sebuah kerajaan yang mempunyai formula yang berjaya 100 peratus dalam menangani krisis ini.

Bagi negara kita kerajaan telah menetapkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk mencapai kekebalan kelompok melalui suntik vaksin yang akan dicapai pada sekitar tiga bulan lagi. Dan kini kerajaan sedang mempercepatkan lagi proses vaksinasi supaya ia dapat dicapai dalam tempoh sebulan.

Bahkan dunia mengiktiraf negara kita merupakan paling pantas dalam melaksanakan program vaksinasi.

Pembangkang menunggang pertambahan kes Covid-19 harian yang hampir mencecah 20,000 juga menjadikan situasi kelihatan tidak terkawal dengan jumlah kematian serta mereka yang dirawat di ICU masih tinggi, minimbulkan kebimbangan umum.

Kerajaan hari ini juga dilabel sebagai derhaka apabila tidak membenarkan Ordinan Darurat dibincangkan dan dibahas di Parlimen tempoh hari.

Walaupun Yang di-Pertuan Agong hanya melahirkan amat dukacita di atas salah faham yang berlaku di dalam Parlimen, tetapi cepat diperbesarkan oleh pembangkang bagi mengheret istana ke dalam kancah politik.

Bagaimanapun akhirnya apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong dan telah diberi perkenan untuk membuktikan keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada persidangan parlimen bulan hadapan, ia menjadi satu tamparan kepada pihak yang menuduh kerajaan sebagai derhaka.

Bahkan pembangkang dan sekumpulan pemimpin UMNO berusaha mengutus surat berkali-kali untuk membuktikan mereka mempunyai jumlah yang cukup sokongan ahli parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong, bagi membentuk kerajaan baharu.

Langkah itu sekali lagi adalah cubaan untuk mengheret baginda ke dalam kancah politik.

Persoalannya siapa yang kini derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong? Apakah Agong wajar dilayan seperti anak kecil yang pada awalnya disogok dengan surat sokongan lapan ahli parlimen dan selepas itu ditambah lagi jumlah sokongan.

Kononnya ia adalah strategi UMNO untuk memerangkap ahli-ahli parlimen yang masih kekal di dalam kerajaan.

Sanggup pemimpin UMNO mengheret Agong bermain dengan permainan kotor mereka yang sepatutnya diselesaikan di peringkat parti tanpa melibatkan istana.

Istana berada di atas orang politik dan bukan diajak bermain dan bergelumang bersama-sama di dalam gelanggang politik.

Sedangkan para pemimpin pembangkang yang ada hari ini juga cukup terkenal dengan sikap tidak mesra istana semasa memerintah selama 22 bulan di bawah panji Pakatan Harapan.

Sikap mereka memberi isyarat yang tidak baik kepada masyarakat dan hingga ke hari ini terdapat individu yang dikenakan tindakan undang-undang kerana membuat komen jelek di media sosial terhadap pihak istana.

Dalam pada itu ketika segelintir pemimpin UMNO dan pemimpin pembangkang yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ghairah menjaja sudah cukup bilangan sokongan, kini mereka pula mulai berpecah.

Ini jelas apabila pemimpin DAP, Tony Phua melahirkan kebimbangan jika kerajaan kleptokrasi kembali menguasai negara ini.

Kleptokrasi bermakna sebuah kerajaan yang menjarah wang rakyat untuk kepentingan peribadi sebagai mana yang dituduh kepada Barisan Nasional (BN) semasa dipimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang terpalit dengan skandal 1MDB dan SRC yang kini sedang berjalan di mahkamah pertuduhannya.

Begitu juga Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO juga sedang berdepan dengan kes mahkamah dengan pelbagai tuduhan salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.

Jadi bermakna jika kerajaan baharu dibentuk atas kerjasama UMNO dengan PH, maka lengkaplah segala gelaran jelek yang diberikan sebelum ini.

Ibaratnya meludah ke langit akhirnya jatuh ke muka sendiri. Kerajaan PH telah gagal 22 bulan serta biadab dengan istana dan menjadi kerajaan kleptokrasi apabila bergabung dengan para pemimpin UMNO yang kleptokrat.

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button