“Siapa Ketua Pembangkang? Kau atau aku?’’
Bagi yang memerhati apa yang berlaku 18 Mei lalu, pasti tertanya sesama sendiri. Di dalam Dewan Rakyat, Anwar Ibrahim sah dinobatkan sebagai Ketua Pembangkang. Tetapi kemudian masa sidang akhbar, bekas ketua pembangkang yang menonjolkan diri.
Memang benarlah Anwar boleh memberi alasan pelbagai, supaya tidak kelihatan berlaga lagi dengan Dr. Mahathir Mohamad. Berlaga untuk entah kali ke berapa sejak kedua-dua insan terpilih ini pertama kali bertemu dalam arena politik negara pada 1980an.
Tetapi implikasinya sekarang orang sudah mempersoalkan kedudukan Anwar. Siapa sebenarnya ketua pembangkang? Kalau diperhati, Mahathir duduk selang lima kerusi dari Anwar di Parlimen. Jauh juga.
Maka hebohlah orang membuat perbandingan bahawa Anwar hendak jadi perdana menteri pun dibayangi Mahathir. Sekarang berstatus ketua pembangkang pun Anwar masih tidak boleh lari daripada Mahathir.
Yang rugi memang Anwar kerana tidak mengambil kesempatan pada sidang media 18 Mei tersebut. Anwar mengatakan ketidakhadiran beliau adalah kerana sidang media itu bukan dianjur Pakatan Harapan. Masalahnya, ada pemimpin DAP, Amanah dan beberapa kerat penyokong Mahathir di dalam Bersatu.
Jadi ia memberi isyarat bermacam rupa kepada rakyat. Anwar ini kalah sabung lagikah dengan Mahathir? Atau pemimpin komponen PH berasakan Mahathir masih ada pengaruh untuk meraih undi sokongan orang Melayu, khususnya menerusi Bersatu.
Oleh kerana sidang media itu dipelopori Mahathir, maka agendanya ialah mengecam kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tak sebut apa-apa pun hal Anwar. Melepas lagi.
Bagaimana hendak menangani benda serupa ini lagi di masa depan? Anwar kena beritahu Lim Guan Eng dan Mohd Sabu supaya jangan hadir dalam sidang media yang dianjur Mahathir. Sebab kehadiran mereka itu, merumitkan kedudukan Anwar di kaca mata penyokong PKR dan rakyat.
Tetapi disebabkan Anwar belum dapat memulihkan sepenuhnya PKR kesan daripada perpecahan terbesar di dalam sejarah parti, ini bermakna kedudukan Anwar pun tidak dianggap padu. Kehilangan 11 ahli parlimen PKR dibawah sayap Azmin Ali bukan kecil-kecil kes hendak disapu dibawah permaidani.
Faktor di atas memungkinkan DAP berasa orang terbaik untuk meraih sokongan Melayu buat masa ini ialah tidak lain tidak bukan, Mahathir. Kedua-dua pihak saling bergantungan. DAP mahu sokongan Melayu, Mahathir perlu sokongan DAP sebab berkemungkinan akan kehilangan parti tidak lama lagi.
BERSIHKAN BERSATU
Bagi kebanyakan pemerhati bebas politik atau berfahaman sederhana, api kemarahan Mahathir ke atas Muhyiddin pasti mendatangkan rasa menyampah. Nampaknya Mahathir tidak mahu menerima kekalahan.
Lazimnya orang sebegini adalah orang yang berasaskan musuhnya itu lemah dan lembik, walapun keputusan peperangan sehingga kini jelas menunjukkan musuhnya itu berterusan mencipta kemenangan demi kemenangan. Ini berbicara ikut laras tentera, kononnya.
Jadi apa yang wajar Muhyddin buat sekarang? Setelah berjaya menyaksikan anak Mahathir, Mukriz digulingkan daripada jawatan Menteri Besar Kedah, Muhyiddin tahu langkah seterusnya kena lebih dahsyat.
Semua penentangnya di dalam parti hendaklah melalui proses affirmative action. Muhyiddin kena pecat Mahathir dan semua pengikutnya. Potong kawasan yang ada sel barah. Potong supaya tidak merebak ke seluruh badan.
Perang Saraf
Difahamkan juga, kem Mahathir kini giat mempersiapkan siri serangan menerusi kumpulan media yang dikuasai oleh para penyokongnya.
Mengapa mereka di media massa itu tidak berundur setelah Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, menunjukkan mereka menanti arahan selanjutnya dalam melancarkan perang saraf.
Bagaimana media massa boleh jatuh ke tangan Mahathir? Ia berlaku bila UMNO dan Barisan Nasional dibelasah setengah mati oleh PH dengan pendakwaan kes 1MDB dan pelbagai dakwaan salah guna kuasa.
Segala wang dan dana UMNO dibekukan menyebabkan aset-aset strategik parti selama ini gagal diselamatkan atau dilindungi daripada jatuh ke tangan musuh. Untuk rekod, dana UMNO hanya dilepaskan oleh mahkamah pada 7 Februari lalu yang merumuskan ia tiada kaitan dengan kes 1MDB.
Hari ini, tidak pasti apakah perancangan UMNO terhadap aset strategik media yang dulunya milik mereka, sama ada dibiarkan saja terus dikuasai oleh puak penyokong Mahathir atau akan mengambilnya semula.
Kalau mahu ambilnya balik, kena buat cepat. Dan jangan lupa pulangkan paku buah keras kepada pihak yang mengakibatkan aset parti dibekukan dulu. Ramai menderita. Tolong tebus maruah kita.
Perang saraf menerusi media massa ini memanglah bak kata orang, kini tertumpu di alam siber tetapi akhbar bercetak masih ada pengaruhnya tersendiri. Jadi jangan pantas sangat singkirkan kemungkinan bahaya peluru musuh.
Selamat Hari Raya Aidilfitri
Hari ini Ahad, 24 Mei 2020, bersamaan 1 Syawal 1441, umat Islam di seluruh negara menyambut kemenangan setelah sebulan Ramadan melawan nafsu dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Jika anda mematuhi semua syarat sah puasa tetapi menyusup ke kampung walaupun ditegah kerajaan disebabkan kebimbangan penularan pandemik Covid-19, anggaplah ada pemotongan markah pahala nanti ya. Gurau saja. Ini cara Merrepak bergurau kering. Tak nak ketawa, tidak menjadi hal sebab saya bukan menulis cerita lawak jenaka.
Namun, saya mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf atas kekasaran bahasa dan tulisan sejak saya kembali aktif Merrepak pada April lalu. Maaf zahir dan batin. -SM