Politik

Siapa bakal tentang Zahid?

APABILA Majlis Tertinggi (MT) UMNO memutuskan untuk mengadakan pemilihan parti tahun ini, tiba-tiba politik menjadi sedikit tenteram.

Tetapi tenteram di luar tidak bermakna tenteram di dalam. Khabar yang diterima mereka bercita-cita menawarkan diri untuk bertanding mula bergerak, termasuk cuba melihat sokongan di bahagian-bahagian.

Pelbagai perjumpaan diadakan, apatah pula sekarang bulan puasa, ia digunakan sepenuhnya untuk menganjurkan program berbuka puasa di seluruh negara.

Jawatan yang menjadi tumpuan tentulah presiden. Beberapa nama disebut bakal menentang penyandang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Antaranya ialah Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin.

Masing-masing meninjau peluang sebelum menawarkan diri kerana keburukan bertanding jawatan presiden adalah apabila kalah akan hilang segala-galanya.

Related Articles

Ini adalah kerana ia adalah kemuncak kerjaya politik seseorang dan jika kalah tidak memungkinnya untuk bertanding jawatan yang lebih rendah di dalam parti.

Tengku Razaleigh contohnya selepas kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad merebut jawatan presiden beliau terus tersisih dari arus perdana politik. Begitu juga beberapa pemimpin lain.

Seseorang mungkin mencuba berkali bertanding jawatan presiden jika merasakan masih mendapat cukup sokongan.

Sebab itulah pemimpin seperti Mohamad atau Tok Mat hanya bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan lalu.

Jika mahu selamat Tok Mat mungkin hanya mempertahankan jawatan yang sedia disandang, kerana pertembungan banyak penjuru menyukar lagi peluang untuk menang jika tiada sokongan yang benar-benar mantap.

Bagi Zahid pula beliau tidak akan rugi apa-apa kerana hanya perlu mempertahankan jawatannya.

Zahid sebelum ini telah mempelawa siapa sahaja yang mahu menentangnya semasa pemilihan nanti dan ini bermakna beliau akan bertanding serta tidak akan memberi laluan, walaupun terdapat pihak yang menggesa Zahid melepaskan jawatan berkenaan.

Pihak yang mahu Zahid melepas jawatan atau tidak bertanding sedar akan sokongan terhadap Zahid masih lagi kuat.

Kelebihan Zahid beliau bijak menjaga ukhuwah dengan ketua-ketua bahagian yang bakal menentukan siapa yang akan menang pada pemilihan.

UMNO pula terpaksa menjalankan pemilihan tahun ini, walaupun sedar akan risiko perpecahan dan pergeseran akibat daripada pertandingan tersebut.

Apatah lagi jika sebaik selesai pemilihan dan terpaksa pula berdepan dengan pilihan raya ia bukan satu situasi yang baik.

Apapun UMNO tidak boleh mengambil risiko tidak mengadakan pemilihan kerana belum pasti bila pilihan raya akan diadakan. Ini adalah kerana perdana menteri kali ini bukan orang UMNO.

Ibaratnya pisau di tangan orang lain. Jadi UMNO perlu bersedia jika pilihan raya diadakan sebaik tamatnya darurat pada Ogos depan.

Desakan yang semakin memuncak kemungkinan besar menyebabkan darurat tidak disambung dan apabila parlimen bersidang kerajaan hari ini hilang majoriti akan memaksa pilihan raya diadakan.

Siapa jua dipilih menerajui parti keramat orang Melayu kelak harus mampu memikul tanggungjawab yang besar iaitu memastikan UMNO tidak sekali lagi berdepan dengan kekalahan pada pilihan raya kerana parti terbesar orang Melayu tidak boleh kalah sekali lagi.

Selain itu kepimpinan baharu juga perlu mampu menjaga hubungan UMNO dengan Pas yang akan menjadi fomular untuk menang pada pilihan raya dan kunci kepada kestabilan politik negara yang mewakili majoriti orang Melayu yang menjadi majoriti penduduk negara ini.

Orang Melayu keseluruhannya memang mengharapkan Pas dan UMNO berbaik kerana ia penting kepada survival politik Melayu.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button