Hiburan

Shuib kekal tenang walau hutang cecah jutaan – ‘Saya Yakin Dengan Rezeki Allah’”

PELAWAK dan usahawan terkenal, Shuib Sepahtu, akhirnya membuka mulut mengenai bebanan hutang perniagaan yang dikatakan mencecah puluhan juta ringgit, seperti yang didedahkan oleh sahabatnya, Mamat Sepah, sebelum ini.

Dalam laporan Berita Harian, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad mengakui bahawa hutang-hutang tersebut bukan sesuatu yang luar biasa dalam dunia perniagaan, malah dianggapnya sebagai risiko yang perlu dihadapi setiap usahawan.

“Hutang saya lebih kepada hutang berniaga, termasuk dengan badan kerajaan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan cukai. Semuanya berkaitan dengan perniagaan.”

Shuib turut menegaskan bahawa perniagaannya masih kukuh, cuma perlu lebih bijak dalam mengurus dan merancang strategi masa depan.

“Kalau perniagaan kecil-kecilan, mungkin tidak terasa. Tetapi apabila sudah bermain di skala besar, cabarannya pun bertambah. Bila jualan cecah puluhan ribu, kemudian ratusan ribu, dan sekarang berjuta-juta ringgit, risikonya juga meningkat. Orang kata, besar periuk, besarlah keraknya.”

Walaupun berdepan dengan cabaran besar, Shuib tetap optimis dan tidak sesekali berputus asa dalam bidang perniagaan.

“Saya tidak akan berhenti kerana saya yakin, selagi kita tidak berhenti, kita belum gagal. Perniagaan saya masih berjalan. Banyak benda perlu diperbaiki, tetapi saya percaya rezeki ini adalah anugerah Allah. Tidak tahu, kita belajar sampai tahu.”

Sementara itu, Mamat dalam satu kenyataan sebelum ini mendoakan agar sahabat baiknya itu terus kuat menghadapi dugaan dan dipermudahkan segala urusan.

Difahamkan, Shuib dan Mamat bakal menunaikan ibadah umrah bersama pada Hari Raya Aidilfitri ketiga, satu kesempatan buat mereka mencari ketenangan dan keberkatan dalam meneruskan perjuangan hidup.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button