Acara

Masyarakat Cina sambut Chap Goh Mei penuh warna warni

KANGAR 12 Feb. – Kira-kira 1,000 orang masyarakat Cina di Negeri Perlis telah meriah menyambut perayaan Chap Goh Mei 2025 dengan penuh warna-warni, keceriaan, dan tradisi di hadapan Pasaraya Ten Ten, Kangar.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat bagi menyempurnakan pelancaran sambutan tahunan yang amat dinanti-nantikan oleh masyarakat Tionghua di negeri ini.

Baginda berdua turut diiringi oleh anakanda kedua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan disambut mesra oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling, serta Ketua Polis Perlis, DCP Datuk Muhammad Abdul Halim.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Malaysia, Chan Ming Kai.

Dalam ucapannya, Gan Ay Ling menegaskan bahawa perayaan Chap Goh Mei bukan sahaja perayaan bagi satu kaum, tetapi juga menjadi platform penting untuk merapatkan hubungan serta memperkukuhkan silaturahim antara seluruh warga Perlis. Beliau turut berbangga dengan semangat perpaduan yang terus kukuh di negeri ini.

“Chap Goh Mei, yang menandakan malam ke-15 serta penutupan sambutan Tahun Baru Cina, merupakan detik yang amat istimewa bagi masyarakat Tionghua. Ia bukan hanya simbol kegembiraan dan kemakmuran, tetapi juga lambang keharmonian dan perpaduan dalam kepelbagaian yang menjadi tunjang kekuatan negeri dan negara kita,” tambah beliau.

Chan Ming Kai turut menambah bahawa rakyat Negeri Perlis sentiasa hidup dalam keadaan saling memahami dan menghormati antara satu sama lain, meskipun masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Beliau juga menegaskan pentingnya pendekatan yang harmoni dengan mengamalkan nilai-nilai positif, meskipun berasal dari budaya yang berbeza, merayakan dan mempelajari bahasa serta tradisi yang pelbagai, selain sentiasa berusaha memahami perbezaan agama yang ada.

Sebagai kemuncak majlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan simbolik perasmian Chap Goh Mei 2025.

Sambutan ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik, termasuk persembahan bunga api, nyanyian, serta pertunjukan Chen Shi Taichi Negeri Perlis yang turut sama secara spontan disertai oleh Baginda berdua, selain beberapa persembahan kebudayaan lain yang menggembirakan suasana malam penuh bersejarah tersebut.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button