MASIH dalam fasa berduka selepas kehilangan isteri, Allahyarham Siti Sarah pada 9 Ogos lalu, Shuib mengakui anak-anak menjadi keutamaannya ketika ini.
Malah menurut Shuib, buat masa ini soal jodoh tidak bermain difikirannya dan memberi tumpuan penuh terhadap anak-anak.
“Soal jodoh saya tak berani nak cakap banyak, tentulah percaturan Allah SWT paling tepat. Saya tak akan tolak jodoh. Apa yang Allah berikan itu yang terbaik.
“Saya juga takkan cakap yang saya tidak akan berkahwin. Mungkin saya muda lagi, baru 37 tahun, anak ada empat orang. Tetapi, saya serahkan pada Allah SWT tentang masa depan, jodoh dan siapa yang saya akan berkawan.
“Namun jika ditanya untuk masa sekarang, saya belum bersedia lagi. Bukan apa, ada perasaan pelik yang akan datang apabila memikirkan soal ini. Bukannya saya takut, tetapi saya terfikir, apa perasaan dia di sana?” katanya.
Shuib berkata demikian ketika ditemui pada majlis Indigital Music Nite di D’Empangan Udang Galah, Putrajaya semalam.
Menurut Shuib, jika ditakdirkan dia bertemu jodoh selepas ini, wanita tersebut katanya tidak boleh mempunyai persamaan dengan arwah isterinya.
Shuib dan arwah isterinya, mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 2011. Mereka kemudiannya dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang kini berusia dua bulan. -SM