Sukan

Sharapova kini memukul bola tenis untuk berseronok

MARIA SHARAPOVA berkata, dia sudah jarang sekali bermain tenis selepas kecederaan bahu yang kerap menimpanya mendorong bekas bintang tenis No. 1 dunia itu membuat keputusan drastik untuk bersara, awal tahun ini.

Pemain Rusia yang pernah memenangi gelaran Grand Slam sebanyak lima kali sepanjang kariernya yang cemerlang itu, turut pernah berdepan kontroversi kerana gagal melepasi ujian doping.

Sharapova menggantung raketnya pada Februari lalu ketika berusia 32 tahun, dan kelihatannya dia tidak merindui sukan tersebut.

“Saya memang ada sekali-sekala memukul bola bersama kawan-kawan saya, hanya untuk berseronok.

“Biasanya saya cuba untuk menikmati aktiviti luar sekerap mungkin, sama ada dengan melakukan senaman tinju di tepi pantai atau mendaki gunung.

“Sewaktu saya masih bergelar pemain, saya hanya berpeluang meluangkan masa untuk beberapa minggu dalam setahun di kediaman saya, jadi memang seronok dapat mempunyai masa yang lebih banyak untuk berehat, bersantai bersama insan disayangi dan fokus kepada perniagaan saya.

“Saya amat gemar melancong, tidak berasa tergesa-gesa kerana terpaksa menyertai pertandingan adalah sesuatu yang cukup indah,” kata Sharapova kepada majalah PEOPLE ketika ditanya sama ada dia masih bermain tenis ataupun tidak.

Seperti orang lain, Sharapova turut tidak terkecuali daripada mematuhi perintah kawalan berkurung sewaktu krisis coronavirus, tetapi katanya, ia tidaklah seburuk yang disangka.

“Kami sekeluarga lebih banyak meluangkan masa di dapur, menyediakan sajian dan membakar roti atau biskut.

“Sehinggalah pada satu tahap, kami mengeluarkan mesin ais krim yang saya tidak pernah bawa keluar daripada kotak bertahun lamanya.

“Malah, kami juga mula bercucuk tanam di belakang kediaman, jadi anda tahu semuanya akan menjadi semakin serius!,” jelasnya. – tennishead.net – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button