Politik

Shamsul Iskandar tiada niat Khianati PMX

DATUK Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, menegaskan bahawa meskipun beliau bercita-cita suatu hari nanti memegang jawatan Perdana Menteri, niat itu tidak pernah disulami dengan pengkhianatan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam sesi podcast Apa Cerita? bersama Asyraf Khalid dan Ishraq Kamarudin, Shamsul dengan jelas menyatakan bahawa beliau tidak pernah diajar untuk mengkhianati sesama rakan perjuangan.

Menurut beliau, pengalaman dan pengajaran daripada kisah rakan seperjuangan yang tersungkur akibat tindakan tidak bijak menjadi pedoman besar buat dirinya.

Shamsul menyentuh soal kepercayaan dan kejujuran dengan menyampaikan pantun lama yang mempunyai makna mendalam.

“Terbang kunang di tengah malam, Hinggap masuk di tiang seri, Tangan kanan ajak bersalam,Apa maksud pisau di kiri?”

Pantun itu, katanya, mengingatkan bahawa dalam perjuangan dan persahabatan, kita harus bersikap ikhlas dan tidak menyimpan agenda tersembunyi.

“Banyak kawan-kawan yang mengkhianati akhirnya kecundang.

“Sebab dalam kita berkawan, dalam kita berjuang ini.. Kalau betul-betul kita bersalam, kita bersalam betul-betul.

“Tak ada niat lain. Tak ada nak tikam. Saya lihat dalam sejarah perjuangan, banyak kawan-kawan yang mengkhianati. Akhirnya di mana?

“Sebab itu bukan tradisi dan budaya kita! Dalam agama sendiri pun, Nabi mengajar kita! Bagaimana dalam banyak persahabatan.. Dalam banyak peristiwa, berlaku pengkhianatan”.ujarnya.

Tambah beliau lagi, tindakan mengkhianati ini bukan sahaja bertentangan dengan budaya dan tradisi Melayu, malah agama Islam sendiri mengutuk keras perbuatan tersebut.

“Dan hukum orang yang mengkhianat ini? Dihukum bunuh! Maknanya tak boleh diterima sama sekali!

Menurutnya, hukuman berat dikenakan terhadap pengkhianat, termasuk hukuman mati, menunjukkan betapa seriusnya perbuatan itu dalam konteks Islam.

Shamsul juga menekankan bahawa usia beliau yang jauh lebih muda berbanding PMX memberi ruang yang luas untuk terus belajar daripada kepimpinan Anwar.

“PM sekarang berumur 77 tahun, manakala saya baru 49 tahun. Saya anggap diri saya sebagai generasi seterusnya selepas PMX,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa jawatan bukan untuk dibanggakan, tetapi adalah satu amanah besar. Pesanan yang selalu ditekankan oleh Anwar bahawa kedudukan adalah taklif (tanggungjawab) dan bukannya tasyrif (kemegahan) sentiasa menjadi prinsip asas buat Shamsul.

“Daripada kepimpinan, daripada perjuangan dia! Saya boleh anggap saya next generation selepas PMX.

“Jadi saya akan bincang dengan kawan-kawan. Apakah bila berada di tahap ini, kita nak ketepikan persahabatan, ketepikan agenda lebih besar.

“Sebab kita selalu diajar oleh Perdana Menteri, jawatan itu bukannya untuk dimegahkan.

“Dia bukan tasyrif tapi adalah taklif iaitu tanggungjawab! Jadi perkara seperti ini pada saya sangat fundamental.

Menurutnya, pengkhianatan demi jawatan atau kuasa adalah sesuatu yang tidak wajar dan akan merosakkan persahabatan serta agenda perjuangan yang lebih besar.

Dalam pada itu Shamsul berjanji akan terus berbincang dan bekerjasama dengan rakan seperjuangan demi masa depan negara, tanpa mengorbankan kepercayaan sesama mereka.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button