“SILA buktikan badan sukan mana yang terlibat dengan rasuah. Jika tidak, kami akan mengambil tindakan terhadap dakwaan yang tidak berasas ini.”
Demikian tegas Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan berhubung kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.
Adam Adli mendakwa bahawa badan sukan di negara ini dibelenggu oleh gejala rasuah.
“Terlebih dahulu saya ingin memberitahu Timbalan Menteri Belia dan Sukan bahawa beliau adalah orang baharu dalam dunia sukan,” kata Ahli Parlimen Arau ini.
Oleh itu, kata Shahidan, jangan sekali-kali hendak menjadi juara dengan melemparkan kenyataan-kenyataan yang tidak berasas dan kurang fakta.
Shahidan menggesa Adam Adli mendapatkan maklumat lengkap bagaimanakah badan-badan sukan diuruskan oleh orang-orang yang dipilih.
Katanya, sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan, beliau sepatutnya harus mempertahankan sukan dan bukan mengeluarkan komen-komen untuk memburukkan nama baik sukan dan badan-badan sukan.
Shahidan menyifatkan kenyataan itu adalah kurang sihat dan tidak sesuai dikeluarkan oleh seorang Timbalan Menteri Belia dan Sukan. – SM