Politik

Shafie percaya dirinya penyelesaian kebuntuan PH

PRESIDEN Warisan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal percaya pencalonannya sebagai perdana menteri boleh menjadi penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh pembangkang.

Ketua Menteri Sabah yang bercakap di Dewan Masyarakat Keningau itu bagaimanapun berkata, PH  masih lagi tidak dapat membuat keputusan sehingga kini.

“Apabila saya dicadangkan sebagai calon perdana menteri, ia adalah untuk menyelesaikan kebuntuan politik semasa.

“Bagaimanapun, mengikut kenyataan terkini daripda PH, ia jelas menunjukkan mereka tidak dapat membuat keputusan muktamad.

“Saya percaya saya merupakan penyelesaian kepada kebuntuan semasa tetapi (kemudian) kita dapat lihat ketidaktentuan. Sekarang kita tidak ada keputusan, itu memang jelas,” kata Shafie.

Tiga hari lalu, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak, termasuk Mohd Shafie mengenai usaha pengembalian mandat rakyat.

Menurut kenyataan yang ditandatangani Anwar, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng itu lagi, Majlis Presiden masih komited dengan pendirian asal bahawa Anwar kekal sebagai calon Perdana Menteri.

“Majlis Presiden telah membincangkan usaha-usaha mengembalikan mandat rakyat dan Pakatan Harapan sebagai Kerajaan Persekutuan. Pakatan Harapan komited dengan pendirian asal YB DS Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, dan mesyuarat juga turut membincangkan cadangan pencalonan YB DS Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri.

“Majlis Presiden berpendirian semua usaha ke arah pengembalian mandat rakyat perlu dijalankan dan memerlukan sokongan semua pihak. Oleh yang demikian, Majlis Presiden memberikan mandat penuh kepada YB DS Anwar Ibrahim untuk meneruskan perbincangan dengan semua pihak termasuk YB DS Shafie Apdal bagi menyempurnakan pengembalian mandat tersebut,” kata Majlis Presiden lagi.

Sebelum ini bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Pakatan Harapan telah bersetuju agar Mohd Shafie dinamakan sebagai calon Perdana Menteri, dengan Anwar dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir masing-masing sebagai Timbalan Perdana Menteri 1 dan 2.

Tetapi, DAP dan Amanah kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan itu harus dibincangkan di peringkat kepimpinan parti masing-masing, sebelum dimuktamadkan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button