Nasional

Shafie Apdal lontar cadangan Belanjawan 2021

Pembentangan Belanjawan 2021 esok, Jumaat

MENJELANG pembentangan Belajawan 2021 esok, Presiden parti Warisan Sabah dan juga bekas ketua menteri negeri di bawah bayu, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal tampil dengan beberapa cadangan yang mungkin boleh diambil kira oleh Menteri Kewangan.

Cadangan yang dilontarkan oleh Mohd. Shafie ialah pelan pemulihan ekonomi selama dua tahun dan memberi bantuan tunai bulanan kepada semua keluarga B40.

Beliau juga mencadangkan potongan gaji menteri dan pengurusan atasn GLC bagi membantu membiayai bantuan kewangan golongan yang memerlukan.

Mohd. Shafie berkata, walau pun kerajaan pusat mengumumkan bantuan berjumlah RM295 bilion melalui semua pakej rangsangan namun bantuan tunai secara langsung sebanyak RM45 bilion yang diberikan adalah rendah berbanding negara-negara lain di rantau Asia Tenggara seperti Singapura, Thailand dan Filipina.

Katanya lagi, bagi melindungi kehidupan rakyat, harus ada langkah segera dalam memastikan jaringan keselamatan disediakan dalam bentuk tunai di tangan supaya rakyat dapat melalui pandemik Covid-19.

“Bantuan tunai sebanyak RM750 sebulan selama 12 bulan akan datang kepada semua keluarga B40 harus diberikan dan RM500 sebulan kepada keluarga M40, ibu tunggal, orang tua, golongan cacat anggota dan gelandangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Semporna itu juga berkata, penerima berumur 18 tahun ke atas mesti berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Perkeso dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Mohd. Shafie turut mencadangkan semua 110 program bantuan sosial dan jaringan keselamatan sosial dikendalikan oleh sekurang-kurangnya 30 agensi kerajaan dan kementerian digabungkan dan dipusatkan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk penyelarasan yang lebih baik dan penjimatan kos.

Beliau menegaskan, bantuan menangani pandemik Covid-19 perlu menjadi keutamaan esok dengan kementerian dan agensi yang berkaitan diberi sumber yang mencukupi.

Pemberian tunai bulanan sehingga RM1,000 untuk tempoh enam bulan juga perlu diberikan kepada mereka yang menganggur akibat pemberhentian kerja atau penamatan kontrak, tidak termasuk yang berada di bawah sistem insurans pekerjaan Perkeso (EIS).

Selain itu, ujar Mohd. Shafie, bagi membantu keluarga yang memerlukan wang tunai, kerajaan perlu mempertimbangkan kredit mikro kecemasan kepada isi rumah yang bermasalah dengan pinjaman tanpa faedah maksimum sebanyak RM2,500 kepada keluarga dan tambahan pinjaman tanpa faedah tambahan RM 2,500 untuk membina semula kehidupan mereka.

Sebagai bantuan untuk memulakan semula perniagaan, beliau mencadangkan supaya pemberian sebanyak RM 6,000 diberikan kepada semua yang bekerja sendiri, termasuk pekerja bebas, yang dibayar dalam jumlah yang sama sebanyak RM500 sebulan.

Cadangan lain termasuk bagaimana untuk membiayai rancangan itu yang dianggarkan berjumlah RM115 bilion tahun depan.

Beliau berkata, kerajaan perlu memanfaatkan beberapa dana rizab dan melepaskan sebahagian sahamnya dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan tempatan (GLIC) dan tabung pencen.

“Entiti awam yang dimiliki oleh rakyat seperti KWSP dan Tabung Haji (antara lain) akan menjadi penerima faedah utama daripada langkah pempelbagaian itu. Dengan cara itu, aset kerajaan akan dimiliki secara langsung oleh rakyat,” kata beliau.

Katanya lagi, kaedah lain untuk mengumpulkan wang itu adalah dengan meminjam RM40 bilion tahun depan serta memotong gaji menteri dan timbalan menteri sebanyak 30% untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Mohd. Shafie berkata, gaji pengurusan tinggi GLC dan GLIC serta ahli lembaga pengarah juga perlu dipotong kerana sebilangan mereka mendapat gaji yang tinggi walaupun bekerja untuk firma milik awam. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button