BeritaPolitikPRK

Shafie Apdal dicemburui UMNO

Analisis

HAIRAN juga kenapa tiba-tiba sahaja Ketua Menteri Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal `dilanyak’ sebegitu teruk oleh UMNO hanya kerana persaingan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Persoalan yang dibangkitkan Mohd. Shafie sehari dua ini benar.

Ya, “banyak sudah yang menjadi Ketua Menteri Sabah, tetapi bila sampai kepada saya, saya pula digelar ketua menteri PTI (pendatang tanpa izin)”.

Hanya kerana isu Pas Sementara Sabah (PSS), Presiden Parti Warisan itu dikritik hebat.

Pengeluaran PSS berkuat kuasa 1 Jun 2020 realitinya adalah bukti keseriusan kerajaan hari ini untuk mengatasi masalah lambakan pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah

Meskipun isu PTI di Sabah begitu kompleks dan memerlukan ia diselesaikan secara berperingkat, namun usaha memperkenal PSS kepada tiga kategori pemilik dokumen iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci adalah langkah permulaan mengatasi masalah itu yang sering menjadi kebimbangan rakyat tempatan.

Mohd. Shafie turut menyebut perkara ini yang tegas beliau, langkah mengeluarkan PSS itu juga adalah rentetan daripada perkara diperhalusi di peringkat Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai PTI di Sabah sebelum ini berhubung kepelbagaian dokumen dikeluarkan pihak berwajib kepada warga asing.

“Maka, dengan adanya penyelarasan (dokumen untuk warga asing) seumpama ini, kita mahu pastikan supaya ia dapat diurus dan dikawal oleh (hanya) Jabatan Imigresen Sabah.

“Kerajaan melihat perkara ini amat serius yang perlu diatasi untuk memastikan supaya jangan ada anasir jahat tanpa sah kedatangan mereka di negara kita,” tegas beliau dipetik Suara Merdeka.

Lantas, jika PSS itu baik amalannya, mengapa Mohd. Shafie menjadi bahan kempen utama UMNO di Kimanis?

Hakikatnya, mahu tidak mahu puncanya satu sahaja – Mohd. Shafie dicemburui musuh-musuh politiknya, apa lagi oleh UMNO.

Sejak keluar UMNO 4 Julai 2016, Mohd. Shafie tidak lagi berfikir panjang. Habis UMNO dilanyaknya dengan memperjuangkan istilah `Sabah for Sabahan’.

UMNO sendiri waktu memandang rendah Mohd. Shafie, padahal politik Sabah amat unik.

Parti Berjaya dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang ditubuhkan dalam dua atau bulan sahaja pun sudah mampu membuat kejutan menumbangkan parti kerajaan negeri. Itulah yang terlepas pandang oleh UMNO dalam pilihan raya umum ke-14, 9 Mei 2018.

Jentera UMNO Sabah waktu itu hanya pandang remeh jentera Warisan diterajui Mohd. Shafie, menyebabkan kurang kesiapsiagaan mereka berhadapan Mohd. Shafie.

Mohd. Shafie tahu apa dibuatnya untuk survival Warisan.

Pernah suatu ketika beliau memberitahu penulis sebelum menyertai Suara Merdeka, beberapa bulan sebelum PRU-14:

“Jangan pandang sebelah mata saya…ini Shafie Apdal…orang Sabah bersama saya…dari setiap etnik, suku, dari orang laut, Bajau…semuanya bersama saya.”

Kata-kata beliau terbukti dengan keputusan PRU-14 lepas.

Adakah kewibawaan Mohd. Shafie yang akan teruji sekali lagi pada hari pengundian 18 Januari ini akan sekali lagi menutup mulut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Kita tunggu ya.

-SUARA MERDEKA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button