Politik

Setitis air mata pun tidak mengalir bila dipecat UMNO – Annuar

Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menceritakan beliau tidak berasa sedih ketika dipecat daripada UMNO, malah tidak setitis air mata pun yang mengalir.

Annuar berkata, bahkan beliau bersyukur kerana tidak lagi di dalam UMNO dan tidak perlu melakukan kerja-kerja keji iaitu menjilat DAP setiap hari dan terpaksa mencipta naratif palsu.

“Jadi apabila saya balik ke kawasan saya iaitu Ketereh, saya lihat penyokong saya muram, saya beritahu mereka jangan sesiapa mengalirkan air mata, kerana saya sendiri tidak setitis air mata pun yang mengalir,” katanya ketika berucap ketika Ceramah Jelajah Selangor Baharu 2023 dan Pelancaran Jentera Perikatan Nasional Parlimen Sabak Bernam, malam tadi.

Turut hadir ialah Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang turut dipecat dari UMNO.

Walaupun begitu lama di dalam UMNO, katanya, iaitu sekitar 50 tahun, tetapi beliau tidak terkilan apabila dipecat kerana UMNO kini dipimpin oleh seorang pemimpin yang tidak betul landasannya.

“Parti ini ibarat kenderaan, kita boleh memilih untuk naik Volvo atau Mercedes, namun jika kenderaan masih elok, tetapi dipandu oleh pemandu yang mabuk ketum, lebih baik saya keluar dan naik Volvo,” katanya memberi gambaran bagaimana presiden ketika ini Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi begitu jauh terpesong dari perjuangan asal UMNO.

Apa yang berlaku, ujar Annuar, ada kebaikannya, kerana setiap apa yang kita lakukan perlu dijawab apabila berdepan dengan Allah di hari akhirat.

Sementara itu, Noh ketika berucap membentangkan keyakinan Perikatan Nasional (PN) mampu memenangi Selangor berdasar data yang ada.

“Hari ini apabila BERSATU bersama, saya yakin PN lebih kuat daripada dulu. Insya-Allah saya terus bersama PN dan terus memberikan sokongan (kepada PN). Matlamat saya senang sahaja iaitu nak Selangor baharu yang dipimpin PN jadi kenyataan,” katanya.

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button