Presiden PAS, Abdul Hadi Awang memuji pelantikan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf Menteri.
Abdul Hadi berpendapat ia sesuai dengan pengalaman Muhyiddin sekali gus menjadi kesinambungan tugasan yang telah dimulakan oleh beliau dalam menangani pandemik Covid-19.
Menerusi pelantikan itu juga, Abdul Hadi berpendapat ia membolehkan Muhyiddin bergandingan dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob demi melancarkan usaha memulihkan negara seperti dirancang.
“Semoga gandingan beliau bersama Perdana Menteri mengharapkan segala usaha dan perancangan memulihkan negara berjalan lancar, demi menjamin kelangsungan hidup dan kestabilan ekonomi rakyat,” katanya.
Abdul Hadi yang juga merupakan ahli parlimen Marang berkata demikian di Facebooknya setelah Muhyiddin mengambil tanggungjawab untuk menjadi pengerusi MPN, baru-baru ini.
Dalam masa sama, Pemuda Perikatan Nasional (PN) memuji langkah diambil Muhyiddin yang melaksanakan tugas sebagai pengerusi MPN tanpa mengambil sebarang imbuhan.
Ketuanya, Khairil Nizam Khirudin menegaskan, pendirian yang diambil Muhyiddin menunjukkan presiden Bersatu itu berjiwa besar dan wajar dicontohi oleh orang lain termasuk ahli politik kanan.
“Tan Sri (Muhyiddin) juga membuktikan bahawa beliau seorang pemimpin yang berjiwa besar apabila menerima pelantikan tanpa segala bentuk imbuhan.
“Terima kasih Tan Sri kerana memberikan contoh yang baik untuk ahli politik senior yang lain dan juga kami yang junior ini,” katanya dalam hantaran di media sosial.