Setahun pembedahan: Dr. Nur Amalina tidak sabar lihat Ainul Mardhiah berlari
HARI ini genap setahun bayi bernama Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin dibedah oleh sekumpulan doktor di London kerana mempunyai ketumbuhan seberat 200 gram di dalam mulut akibat kanser Germ Cell Tumor.
Doktor pelatih pakar bedah Malaysia di sebuah hospital di London, Dr. Nur Amalina Che Bakri yang turut terlibat membantu Ainul Mardhiah gembira melihat bayi itu semakin sihat .
Dr. Nur Amalina berkata, tidak sabar untuk melihat Ainul Mardhiah berlari di taman permainan.
“Hari ini, genap setahun Ainul Mardhiah dibedah. Tidak sangka cepat sungguh masa berlalu. Kini, Ainul seorang bayi yang sangat ceria dan banyak keletah. Terima kasih kepada mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan pembedahan ini.
“Terutama sekali Prof. David Dunway dan Mr. Juling Ong dan seluruh pasukan. Tidak lupa juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang banyak membantu. Anda adalah hero yang sebenar. Tidak sabar mahu melihat Ainul berlari-lari di taman permainan, Insya-Allah,” ciap Dr. Amalina di Twitternya.
Kisah Ainul Mardhiah tular di media sosial apabila gambarnya dengan ketumbuhan yang semakin membesar di dalam mulutnya menarik simpati masyarakat.
Gambar Ainul Mardhiah dengan ketumbuhan yang terkeluar dari mulutnya sampai ke pengetahuan Dr. Amelina dan dia berjanji untuk membantu bayi tersebut.
Masyarakat yang terkesan dengan penderitaan Ainul Mardhiah turut memberi sumbangan berjumlah RM4 juta bagi membolehkan bayi itu menjalani pembedahan di luar negara yang mempunyai kepakaran membuang ketumbuhan tersebut.
Bayi berkenaan kemudiannya di terbangkan ke Londan dan pembedahan itu dilakukan oleh sekumpulan pakar bedah dan bius, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway pada 11 Jun tahun lalu.
Sementara itu Sinar Harian melaporkan ibu bapa bayi itu, Ahmad Saifiuddin Ahmad Razak, 25 dan Nurul Erwani Zaidi, 24 gembira Ainul Mardhiah semakin baik dan semakin lasak malah sudah pandai bermain. Ainul Mardhiah juga gemar menonton rancangan kartun Omar dan Hana.
Menurut mereka, walaupun masih lagi bergantung dengan mesin oksigen tetapi Ainul Mardhiah sudah mula belajar berdiri dan berkemungkinan sudah mula untuk belajar berjalan.
Walaupun perkembangan anak pertamanya itu agak perlahan berbanding kanak-kanak normal seusia, namun melihat senyuman yang terukir di bibir dan telatahnya saban hari, cukup memberikan harapan baharu kepada mereka sekeluarga.
Mereka sekeluarga juga tidak sesekali melupakan insan yang mendorong kehadiran sinar baharu dalam kehidupan mereka anak beranak termasuk Dr. Nur Amelina dan masyarakat Malaysia.-SM