Serbuan ke rumah Jufazli dilakukan ikut undang-undang
POLIS mengesahkan serbuan yang dilakukan di rumah bekas ahli DAP, Jufazli Shi Ahmad adalah mengikut undang-undang.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan dan pemeriksaan di rumah tersebut adalah di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Tindakan yang diambil oleh kita dalam isu ini adalah mengikut peruntukan undang-undang sebagaimana yang termaktub di bawah Seksyen 248 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kita menasihatkan orang ramai supaya jangan terpengaruh dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini sehingga boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, tular satu video klip berdurasi 4 minit 30 saat yang dipercayai rakaman serbuan polis di rumah Jufazli yang terletak di Bukit Segar, Cheras.
Dalam rakaman tersebut, Jufazli telah mempertikan tindakan polis yang menyerbu rumahnya dan meminta supaya dikemukakan waran tangkap dan geledah.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, serbuan itu dilakukan pada 26 Februari lalu kira-kira pukul 3 pagi.
“Serbuan tersebut dilakukan bagi mengesan seorang individu dikenali Jufazli yang gagal tampil untuk bertemu pegawai penyiasat setelah beberapa kali dipanggil.
“Kita telah berada kira-kira 30 minit di hadapan pintu rumahnya, bagaimanapun dia masih lagi gagal untuk memberikan kerjasama walaupun polis telah memperkenalkan diri dengan secukupnya,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya terpaksa membuat serbuan ke rumah tersebut selepas tiada kerjasama diberikan. -SM