Serangan di masjid Christchurch: Penembak dipenjara seumur hidup
MAHKAMAH New Zealand hari ini menjatuhkan hukuman seumur hidup tanpa parol terhadap warga Australia, Brenton Tarrant.
Tarrant, 29, menjadi dalang di sebalik serangan ke atas dua masjid di Chrischurch yang mengobankan 51 nyawa.
Tarrant mengaku bersalah atas tuduhan membunuh 51 orang serta cubaan untuk membunuh 40 orang lain dan satu tuduhan melakukan keganasan.
Ini merupakan kali pertama hukuman penjara seumur hidup dijatuhkan di New Zealand.
Menurut pertuduhan yang dibacakan Pendakwa Raya Diraja, Barnaby Hawes, pengganas itu membuat perancangan rapi bagi menjalankan serangan berkenaan yang bertujuan menyebabkan sebanyak mungkin kematian.
Perbicaraan bagi menjatuhkan hukuman dijalankan selama empat hari yang menyaksikan lebih 60 kenyataan mangsa dan keluarga mangsa terkorban.
Pada hari terakhir kenyataan mangsa dikongsikan di mahkamah, beberapa surah Al-Quran dibacakan dan gambar-gambar mangsa terkorban turut dipamerkan.
New Zealand tidak melaksanakan hukuman mati, namun kesalahan membunuh dan keganasan membawa hukuman penjara minimum 17 tahun tanpa pembebasan.
Bagaimanapun, hakim diberi kuasa untuk memenjarakan seseorang tanpa kemungkinan untuk dibebaskan.
Serangan yang dilakukan Tarrant pada 15 Mac 2019 di bandar terbesar di selatan pulau New Zealand itu disiarkan secara langsung di Facebook melalui kamera yang dipasang pada badannya.
Sebelum serangan tersebut, Tarrant didakwa telah mengumpulkan banyak maklumat mengenai pelan dalaman masjid, lokasi, waktu solat dan tarikh penting kalendar umat Islam ‘bagi memastikan waktu paling sibuk di masjid’. – SM