Sepatutnya PRN Sabah tidak diadakan – Dr. Mahathir
PILIHAN Raya Negeri Sabah menjadi punca merebaknya Covid-19 hingga merebak ke seluruh negara.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, PRN itu tidak sepatutnya berlaku yang mengakibatkan Sabah kini menjadi sebuah negeri kluster Covid-19.
Menurutnya, PRN Sabah sudahpun berlangsung pada tahun 2018. Bagaimanapun DUN terpaksa dibubarkan untuk mengelakkan penubuhan kerajaan pintu belakang di Sabah.
PRN tersebut bukan sahaja menelan kos yang tinggi tetapi juga menyebabkan penularan wabak Covid-19 dari Sabah ke Semenanjung.
“Maka menanglah duit, kerana dia raja. Tapi kosnya tinggi. Bukan sahaja wang Ringgit, tetapi juga serangan COVID-19. Dari Sabah berkembang ke Semenanjung.
“Kononnya Menteri kebal tak payah kuarantin. Malangnya Covid-19 tidak tahu Menteri kebal.
“Maka berjangkitlah COVID-19 dan merebaklah. 631 sehari. Dari negeri yang selamat Sabah jadi kluster,” kata Dr. Mahathir.
Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu beribu lagi dijangka akan menjadi mangsa dan bilangan kematian akan bertambah.
Secara sini, Dr. Mahathir menyindir kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin yang sebelum ini berkata, akan melaksanakan Pilihan Raya Umum sekiranya Perikatan Nasional menang PRN Sabah.
“Kata pemimpin tertinggi, kalau menang, PRU akan diadakan. Jangan mungkir janji. Adakan PRU. Biar ratusan ribu dijangkiti. Biar lebih ramai mati.
“Politik lebih utama dari prinsip. Apa aku peduli. Aku dapat,” kata Dr. Mahathir.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang berlangsung pada bulan Mei 2018 menyaksikan Warisan yang dipimpin Datuk Seri Shafie Apdal dan rakan kerjasamanya DAP dan PKR menang di 29 daripada 60 kerusi DUN. Kurang dua kerusi untuk mendapat majoriti mudah.
Pada 10 Mei 2018 Tan Sri Musa Aman mengangkat sumpah menjadi Ketua Menteri Sabah.
Musa sebelum itu memberitahu, semua 29 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN bekerjasama dengan dua ADUN STAR bagi membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah menerusi 31 daripada 60 kerusi DUN.
Warisan kemudiannya berjaya membentuk kerajaan pintu belakang selepas memiliki 35 ADUN apabila enam ADUN Barisan Nasional melompat menyertai Warisan Plus dan menyokong Shafie untuk membentuk Kerajaan Negeri Sabah.
Shafie mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah pada 12 Mei 2018.
Pada 30 Jun lalu bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman pula tampil dengan foto bersama 32 lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan mendakwa mendapat sokongan untuk menerajui semula Sabah daripada kepimpinan Shafie.
Bagi mengelakkan ‘kerajaan pintu belakang’ berlaku, Shafie kemudiannya membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah pada 30 Julai.
Kempen PRN Sabah ke-16 berlangsung pada 12 September dan pilihan raya berlangsung pada 26 September.
Kes Covid-19 meningkat selepas PRN Sabah tamat.-SM