Seorang lagi mangsa nahas bas ekspres terbakar di Kilometer 198.0 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), awal pagi semalam meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Melaka malam tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Arshad Abu berkata, mangsa kedua yang meninggal dunia dikenali sebagai Peer Mohamed Kannudeen, 70, yang melecur 80 peratus meninggal dunia kira-kira pukul 8.57 malam.
Menurutnya, mangsa adalah datuk kepada seorang remaja Yafarah Taj Fakrudin Hussaini, 17, iaitu mangsa pertama yang meninggal dunia dalam insiden tersebut yang berlaku kira-kira pukul 3.50 pagi semalam.
“Kesemua mangsa berasal dari Tamil Nadu, India manakala seorang lagi saudara mereka yang melecur 50 peratus masih mendapat rawatan di Hospital Melaka.
“Jenazah mangsa pertama akan dikebumikan di Kuala Ina, Alor Gajah pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Akhbar melaporkan seorang pelancong maut akibat rentung manakala empat lagi ahli keluarganya cedera termasuk dua parah selepas bas ekspres dua tingkat dinaiki terbakar.
Bas dua tingkat tersebut dalam perjalanan dari Singapura menuju Kuala Lumpur membawa 28 penumpang warga India, Singapura, United Kingdom dan Taiwan.
Sebanyak 23 mangsa termasuk pemandu dan pembantu bas tidak mengalami sebarang kecederaan apabila mereka berjaya keluar dari bas yang sedang marak terbakar.
Siasatan awal mendapati sebelum kemalangan, sebuah motosikal ditunggangi lelaki berusia 21 tahun dipercayai terbabas sendiri di lokasi sebelum tercampak di lorong paling kiri.
Penunggang itu sempat bangun ke kiri jalan sebelum bas berkenaan melanggar motosikal hingga menyebabkannya terbakar. – SM