Rakyat hendaklah sentiasa dilindungi dan dijaga kebajikan mereka dalam apa jua keadaan, titah Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Titah Baginda, kebajikan rakyat negeri Perlis adalah satu keutamaan.
Sehubungan itu titah Baginda, dalam memastikan keselesaan dan kebajikan rakyat negeri ini sentiasa berada pada tahap terbaik, adalah diharapkan supaya setiap perancangan program dan projek pembangunan mengambilkira manfaat yang akan diterima rakyat.
Sebagai contoh titah Baginda, fasilitasi awam, kawasan rekreasi dan riadah harus diperbanyakkan dan sebagainya.
“Manakala dari aspek penyediaan infrastruktur, agensi yang berkenaan perlu memastikan penyediaan infrastruktur utama seperti jalan raya, bekalan air, elektrik, jaringan komunikasi dan lain-lain lagi sentiasa berada pada tahap yang memuaskan,” titah Baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 140 asnaf terpilih dalam satu program di Masjid Al-Rashid, Kubang Perun, Mata Ayer.
70 daripada penerima adalah dari kalangan anak kariah Kubang Perun dan 70 lagi dari kariah Panggas.
Masing-masing menerima RM700 setiap seorang daripada Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang DiPertua MAIPs.
Turut hadir mengiringi Pemangku Raja ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor. – SM