NasionalParlimen

Semua murid dapat peluang pendidikan, TVET – KPM

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) komited memastikan semua murid mendapat ruang dan peluang pendidikan yang berkualiti termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

KPM juga telah menyediakan pelbagai program berasaskan TVET kepada murid lepasan Tingkatan 3 yang berkecenderungan dalam bidang kemahiran dan teknikal.

GAMBAR GOOGLE – GAMBAR HIASAN – KOSMO DIGITAL

Demikian jawapan yang diberikan oleh KPM terhadap soalan lisan Datuk Dr Nelson Renganathan yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan mengenai usaha KPM untuk memperkenalkan kursus-kursus berasaskan TVET kepada murid-murid di sekolah menengah terutamanya kepada mereka yang kurang berminat dalam bidang akademik di Dewan Negara, hari ini.

Menurut KPM, antara langkah yang diambil oleh KPM adalah melalui pelaksanaan program TVET di sekolah menengah kebangsaan (SMK) iaitu Program Vokasional Menengah Atas (PVMA), Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA) dan Mata Pelajaran Vokasional (MPV).

“Penawaran program TVET di SMK bagi murid yang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bertujuan membantu melahirkan tenaga kerja negara yang berkemahiran dan berpengetahuan.

“Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) turut berpeluang mengikuti program TVET samada menerusi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SMK atau program vokasional di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV),” katanya.

Kata KPM lagi, ini membolehkan MBPK mendapatkan pendidikan kemahiran bagi memenuhi keperluan pasaran kerja.

Tambah KPM, program TVET terbesar dilaksanakan di kolej vokasional (KV).

“Pengajian di KV adalah berteraskan kompetensi dengan wajaran 70 peratus amali dan 30 peratus teori,” jelasnya.

Program yang ditawarkan memberi tumpuan kepada tiga kumpulan utama mengikut potensi dan keupayaan murid iaitu:

  1. program Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan program Diploma Kolej Vokasional;
  2. program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN); dan
  3. sijil profesional di kolej vokasional KPM

KPM yakin usaha yang telah dilaksanakan ini dapat memastikan murid yang berkecenderungan dalam bidang kemahiran mendapat peluang pendidikan TVET yang berkualiti. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button