Semua kredit diberi kepada Hazril – Loke
SELALU mendapat pujian tiba lebih awal di majlis oleh penganjur dan wartawan, semua kredit itu pergi kepada pemandu, Hazril Mohd Tanaim.
Hazril, pemandu pertama Anthony Loke sejak pertama kali menjejak kaki di Kementerian Pengangkutan tidak pernah mengecewakan bekas Menteri Pengangkutan itu.
Loke dalam muat naik di akaun Facebooknya hari ini, memuji sifat Hazril yang pendiam, namun amat berdedikasi dalam kerjanya.
“21 bulan yang lalu, saya bersama beliau hampir setiap hari, Isnin sampai Ahad. Kadang kala program saya sampai lewat malam tetapi keesokan harinya dia tetap sampai rumah (saya) di awal pagi.
“Tak pernah complain (mengeluh), tak pernah kata letih. Dia hanya selalu kata ‘YB (Yang Berhormat) cakap saja nak keluar pukul berapa’,” katanya.
Loke turut memuji perancangan masa kerja yang dibuat Hazril sangat baik, sehingga beliau tidak pernah lewat ke mesyuarat ataupun majlis.
“Saya selalu sampai ke majlis lebih awal dari jadual. Setiap hari beliau akan check (periksa) jadual saya,” katanya.
Dalam pada itu, Loke menganggap Hazril sebahagian daripada pasukannya di pejabat menteri, dan bukan sekadar pemandu.
“Saya tak pernah biarkan kerusi depan kosong. Kalau pengawal peribadi saya cuti, saya akan duduk depan.
“Kali pertama saya buat begitu, dia terperanjat. Katanya tak pernah lihat menteri duduk depan. Lantas saya kata saya tak kisah sangat dengan protokol,” katanya.
Jelasnya, Hazril orang yang paling beliau rindui di Kementerian Pengangkutan.
“Saya amat berterima kasih kepada Hazril. Semoga beliau dan isterinya yang juga kakitangan Kementerian Pengangkutan akan terus berkhidmat secara bersungguh-sungguh. Saya juga harap anak comelnya sentiasa sihat.
“Hazril, terima kasih dan sentiasa berhati-hati semasa memandu. Terima kasih. Ikhlas dari saya, Loke,” katanya. – BERNAMA