Nasional

Semua harus main peranan aktif hadapi cabaran pandemik – Raja Muda Perlis

Dalam menghadapi pandemik semasa, setiap individu haruslah mengambil bahagian secara aktif dalam mencari jalan-jalan penyelesaian kepada cabaran yang sedang masing-masing hadapi, terutama sekali dari sudut pendidikan dan pelancongan. Ini merupakan tanggungjawab bersama bagi setiap kelompok masyarakat termasuklah para ilmuan, pengkaji, ahli akademik, pengamal industri dan juga golongan pelajar, di mana sumbangan mereka dalam bidang kepakaran masing-masing dapat memberi manfaat kepada negara dan juga Ummah.

‘Kita semua seharusnya berusaha keras bagi sama-sama cuba mengatasi dan pada masa yang sama bergerak ke hadapan dalam tempoh penuh kesukaran dan mencabar ini demi untuk membolehkan kita mencapai kemajuan’.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan merasmikan ‘Persidangan Antarabangsa Bahasa, Pendidikan dan Pelancongan’ atau dalam Bahasa Inggerisnya ‘The International Conference in Languages, Education And Tourism’ – “ICLET 2021” anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diadakan secara alam maya melalui aplikasi Zoom pada pagi ini.

Pada kesempatan yang sama baginda turut berharap agar pihak UIAM dan urusetia penganjur iaitu Pejabat Kursi Jamalullail di UIAM akan berjaya menjadikan persidangan selama tiga hari iaitu dari 28 hingga 30 Jun ini sebagai sebuah lagi kejayaan yang membanggakan dan seterusnya dapat merealisasikan objektif penubuhan Kursi berkenaan di UIAM.

Tuanku Raja Muda Perlis juga mahukan setiap pembentang kertas kerja baik melalui perbincangan maupun debat akan mampu menghasilkan kesan riak atau ‘ripple effects’ dalam masyarakat. Kesan ini sesungguhnya akan dapat membuka ruang kepada pemahaman, penghargaan dan penglibatan aktif dalam mendalami ilmu dan kajian melalui perbezaan pendapat dan juga perdebatan ilmiah.

Untuk rekod, Kursi Jamalullail di UIAM adalah inisiatif di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertujuan untuk mempromosikan penyelidikan dan pengajian khusus dalam bidang pengajian Islam, Perbankan dan Kewangan Islam, Pengajian Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris, Pelancongan Islam dan Pendidikan Awal Kanak-kanak.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button