Sukan

Sembilan wakil Malaysia ke suku akhir Terbuka Thailand Toyota

MALAYSIA sekurang-kurangnya memiliki dua wakil bakal mara ke separuh akhir apabila beregu lelaki dan wanita negara bertembung sesama sendiri pada suku akhir kejohanan badminton Terbuka Thailand Toyota di Impact Arena, Bangkok, esok.
Dalam pusingan kedua, hari ini, 11 wakil negara turun ke gelanggang dan sembilan daripada mereka berjaya menjejakkan kaki ke suku akhir.
Aksi yang paling menyerlah ialah daripada beregu muda wanita Malaysia, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan yang berjaya melangkah ke suku akhir buat kali pertama pada kejohanan berstatus Jelajah Dunia 1000 itu setelah menewaskan pencabar dari Perancis, Vimala Heriau-Margot Lambert 19-21, 21-16, 21-9.
Gandingan negara itu, semalam mencipta kejutan terbesar dalam karier mereka apabila menundukkan beregu No. 9 dunia, Chang Ye Na-Kim Hye Rin dari Korea Selatan 16-21, 21-15, 27-25.
Kemenangan tersebut ternyata menyuntik pasangan muda negara itu untuk terus melangkah lebih jauh dan sekali gus, meraih pengalaman yang cukup berharga.
Lawan yang menanti Pearly-Thinaah yang masing-masing berusia 20 dan 23 tahun itu di suku akhir ialah senior mereka, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean setelah beregu No. 14 dunia itu mengalahkan Setyana Mapasa-Gronya Somerville dari Australia 21-17, 21-15 dalam masa 38 minit.
Satu lagi wakil Malaysia dalam saingan beregu wanita ialah pasangan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen yang berjaya menyingkirkan beregu Perancis, Emilie Lefel-Anne Tran 19-21, 21-17, 21-12.
Bagaimanapun, laluan getir menanti Vivian dan Cheng Wen di suku akhir apabila mereka perlu berdepan pilihan ketiga dari Korea Selatan, Lee So Hee-Shin Seung Chan jika berhajat mara ke separuh akhir.
Satu lagi suku akhir yang menemukan dua wakil Malaysia ialah beregu muda lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang akan menentang pasangan veteran, Goh V Shem-Tan Wee Kiong.
Pilihan kelapan, Aaron-Wooi Yik menewaskan beregu muda Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 21-12, 6-21, 21-12 di pusingan kedua, hari ini, manakala V Shem-Wee Kiong menumpaskan Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren dari Thailand 21-15, 16-21, 21-15.
Turut mara ke suku akhir, beregu Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang mengalahkan gandingan Denmark, Mathias Christiansen-Niclas Nohr
8-21, 21-7, 21-17.
Sementara itu, dalam aksi beregu campuran pilihan kelima, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menundukkan pasangan Indonesia, Adnan Maulana-Mychelle Crhystine Bandaso
21-18, 21-15.
Beregu No. 7 dunia itu bakal beraksi menentang pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponnappa di suku akhir.
Turut mengiringi pasangan bebas negara itu ialah beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See yang mengetepikan cabaran Thom Gicquel-Delphine Delrue dari Perancis 21-14, 21-16 dalam masa 40 minit.
Pasangan Indonesia yang turun selaku pilihan keenam kejohanan, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja menjadi lawan mereka di suku akhir.
Dalam saingan perseorangan lelaki pula,
Liew Daren menjadi wakil tunggal Malaysia dalam kategori tersebut apabila menewaskan pencabar dari India, Prannoy H. S 21-17, 21-18 dalam masa 40 minit.
Pada suku akhir, esok, Daren bakal berdepan lawan yang lebih sukar iaitu pilihan keempat, Victor Exelsen dari Denmark yang masih segar dengan kejayaannya merangkul gelaran Terbuka Thailand Yonex, minggu lalu.
Dalam pada itu, perseorangan wanita,
Kisona Selvaduray terpaksa akur dengan lawan yang lebih berpengalaman apabila dia tumpas ditangan pilihan keenam, Pusarla V. Sindhu dari India 10-21, 12-21.
Gandingan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai pula tewas straight set kepada pilihan pertama dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 12-21, 19-21. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button