Nasional

Semangat Maulidur Rasul semarakkan setiap jiwa Keluarga Malaysia

SEMANGAT Maulidur Rasul perlu terus disemarakkan dan disemai dalam jiwa setiap umat Islam sebagai bukti ketulusan cinta terhadap Rasululullah SAW.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun umat Islam di negara ini menyambut Maulidur Rasul dalam suasana yang sederhana dalam norma baharu, hakikatnya bukan sekadar sambutan hari lahir Baginda Rasulullah SAW semata-mata tetapi ia membawa suatu makna yang amat besar kepada seluruh manusia.

“Dalam konteks kemanusiaan, Rasulullah adalah model dalam mengangkat ukhuwah insaniah atau persaudaraan kemanusiaan.

“Baginda berusaha menghapuskan apa jua bentuk diskriminasi atas nama agama, bangsa, warna kulit mahupun keturunan,” katanya.

Beliau menambah, ini menunjukkan Islam merupakan agama yang terbangun di atas prinsip memuliakan manusia atau takrim al-insan.

Ia juga selari dengan Perlembagaan Persekutuan antaranya Perkara 12 yang memberikan hak asasi untuk semua warganegara mendapat pendidikan tanpa sebarang diskriminasi sama ada atas alasan agama, ras, keturunan atau tempat lahir, kata Ismail Sabri.

Beliau berkata demikian pada perutusan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan hari ini.

Ismail Sabri berkata, Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai nabi dan rasul untuk menjadi suri teladan kepada seluruh umat manusia.

“Baginda menjadi ketua negara atau khalifah pada ketika itu dan membina Madinah dengan menggariskan dasar serta polisi yang jelas untuk mencapai dan mengukuhkan kestabilan negara.

“Sahifah Madinah yang diperkenalkan Baginda untuk kestabilan politik telah diterima baik oleh seluruh penduduk Madinah tanpa mengira agama dan bangsa.

“Dasar dan polisi yang terkandung dalam Sahifah Madinah telah berjaya mewujudkan elemen kebersamaan khususnya dalam mengatur hubungan antara masyarakat supaya hidup dalam keadaan saling menghormati, bertanggungjawab dan seterusnya menyatupadukan seluruh masyarakat Madinah sebagai satu keluarga,” ujar Ismail Sabri lagi.

Tambah beliau, kestabilan negara dari aspek kesihatan berterusan, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan berkekalan, menjadi elemen-elemen yang diberi perhatian khusus oleh Baginda sebagai khalifah Madinah.

Nabi Muhammad dalam polisi pentadbirannya di Madinah mengutamakan kebajikan seluruh umat Madinah.

Rasulullah juga memastikan agar hasil negara dirasai dan disampaikan kepada seluruh penduduk secara adil dan saksama, ujar Ismail Sabri.

Selain itu, Baginda juga sentiasa menggalakkan penduduk Madinah untuk memajukan sektor pertanian dan perniagaan sebagai sumber ekonomi pada waktu itu.

Dalam ikatan Keluarga Malaysia, Ismail Sabri berkata, kerajaan telah dan akan meneladani inisiatif dan strategi yang dilaksanakan oleh Rasulullah sebagai panduan dalam pentadbiran negara.

“Untuk tujuan itu, pelbagai polisi, inisiatif dan insentif akan diperkenal dan dirancang oleh kerajaan demi memastikan tidak ada Keluarga Malaysia yang ketinggalan dalam merasai nikmat dan kemakmuran negara, ‘No one will be left behind’,” katanya sambil menambah, tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti membawa kita kepada norma hidup yang menekankan prinsip Dasar Manhaj Rabbani iaitu Rahmat, Aman, Bertuhan, Bakti, Adil, dan Insani.

Jelas beliau, kesemua nilai selari dengan Konsep Keluarga Malaysia yang menekankan tiga teras utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran di samping 20 nilai lain seperti amalan ihsan, beriman, kasih sayang dan bermusyawarah.

“Tema ini juga selari dengan Dasar Perpaduan Negara berkonsepkan, Perpaduan Dalam Kepelbagaian yang mana perpaduan dan integrasi nasional telah lama diamalkan di negara ini termasuk dalam sambutan Maulidur Rasul.

Ismail Sabri turut mengajak rakyat Malaysia menuju ke arah melahirkan generasi Malaysia yang memiliki semangat perpaduan dan kebersamaan serta saling hormat menghormati agar ia selari dengan komsep Keluarga Malaysia.

Dalam mengharungi krisis berkembar ekonomi dan kesihatan yang mencabar ketika ini, sebagai Keluarga Malaysia, Ismail Sabri turut mengingatkan agar kita perlu berganding bahu untuk memulihkan negara selain menyesuaikan diri dalam norma baharu.

“Apa jua perbezaan, kita jadikan sebagai kelebihan dan bukannya kelemahan manakala sebarang persamaan, kita jadikan sebagai sumber kekuatan.

“Kita jalin dan kukuhkan kembali perpaduan dengan ikatan kasih sayang dan toleransi sebagai sebuah Keluarga Malaysia yang besar.

“Siapa pun kita, sama ada seorang bapa, ibu, anak, jiran, pekerja, ketua di pejabat, pemimpin masyarakat, pemimpin agama atau pemimpin politik, masing-masing perlu memainkan peranan untuk memulihkan kembali negara ini demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button