Sukan

Selepas Thiago, Liverpool lakar kejutan beli Diogo Jota

LIVERPOOL secara terbuka telah menyatakan hasrat mereka mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris dengan berbelanja 65 juta pound (RM346 juta) bagi mendapatkan khidmat Thiago Alcantara dan Diogo Jota.

Thiago diperkenalkan kepada umum kelmarin setelah dia melengkapkan perpindahan yang bernilai 25 juta pound (RM133 juta) dari Bayern Munich serta lulus pemeriksaan kesihatan sebaik tiba di Manchester dengan menaiki pesawat peribadi.

Jurgen Klopp teruja dapat menandatangani salah seorang pemain tengah terbaik di dunia dan mungkin memberi peluang kepada pemain itu melakukan penampilan sulung di Chelsea pada hari ini (Ahad).

Selain kehadiran Thiago, Liverpool turut mencipta kejutan apabila melengkapkan perjanjian sebanyak 41 juta pound (RM218 juta) untuk mendapatkan khidmat pemain hadapan Portugal, Jota yang kecewa di Wolves.

Pemain berusia 23 tahun itu diambil sebagai pemain sokongan kepada Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane.

Jota menandatangani kontrak selama lima tahun selepas Liverpool beralih tumpuan kepadanya setelah Reds sebelum itu berunding dengan Watford untuk menandatangani Ismaila Sarr.

Watford yang tersingkir ke Liga Kejuaraan bagaimanapun menuntut yuran sebanyak 50 juta pound (RM266 juta) untuk penyerang Senegal itu.

Liverpool juga dijangka memperoleh kembali 13 juta pound (RM69 juta) selepas bersetuju menjual Ki-Jana Hoever ke Wolves yang berjaya mengetepikan persaingan dari Juventus dan Atletico Madrid untuk khidmat pemain pertahanan Belanda berusia 18 tahun itu.

Mengikat dua pemain sekali gus menyaksikan Liverpool serius dalam urus niaga tersebut dan Klopp tidak meragui bahawa Thiago khususnya bakal melakukan perubahan kepada pasukan.

Para pegawai di Bayern kesal mereka kehilangan khidmat pemain tengah Sepanyol berusia 29 tahun itu dan pengurus Liverpool dapat memahami mengapa.

“Thiago seorang pemain yang luar biasa dan tiada sesiapapun yang melihat dari sudut yang berbeza. Memang sukar… dan kami pernah katakannya pada tahun lepas dan tahun ini sekali lagi bahawa sukar meningkatkan sebuah pasukan seperti kami dengan cara biasa.

“Tiada kritikan tentang pasukan lain tetapi jika kami boleh berbelanja 300-400 juta pound (RM1.6 billion-RM2.13 billion) maka dengan mudah kami boleh mendapatkan khidmat beberapa pemain.

“Tetapi dalam kes ini, dia merupakan pemain yang mampu menghadirkan perbezaan kepada permainan kami. Dia mempunyai beberapa kemahiran secara umumnya amat jarang dimiliki, dan ia memang serasi dengan kami. Namun, ini tidak bererti pemain lain tidak berkebolehan, dia cuma menghadirkan perbezaan. Maka sebab itu saya berminat dengannya.

“Dia teruja tentang peluang ini. Jadi, tidak banyak yang perlu diyakinkan dan ia sangat membantu. Semuanya datang sekali gus, situasi menang-menang,” kata Klopp panjang lebar. – Daily Mail UK – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button