Hiburan

Selepas Jimmy Palikat, Rich Estranged pula nak bertanding PRN Sabah

Lama tidak muncul dengan karya baharu dalam dunia seni, rupanya vokalis kumpulan Estranged, Rich sedang merancang untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah.

Namun, perancangan Rich atau nama sebenarnya Richael Lawrence Gimbang, 38, yang ingin bertanding sebagai calon wakil rakyat Tambunan (N32) bukanlah pada PRN kali ini.

Sebaliknya, dia merancang untuk bertanding sebagai wcalon wakil rakyat pada PRN yang ke 17.

“Saya bukan nak jadi wakil rakyat sebab duit atau kuasa. Sebaliknya saya ingin berbakti kepada rakyat Tambunan untuk kemajuan kawasan setempat.

“Tetapi hasrat untuk bertanding itu bukanlah pada tahun PRN kali ini. Mungkin pada PRN seterusnya yang kita pun tidak tahu bila,” katanya seperti dilaporkan Kosmo!.

Ditanya apakah contoh yang membuatkan dia terpanggil untuk menjad wakil rakyat, Rich memberitahu yang kes Veveonah adalah satu daripada sebabnya.

“Isu Veveonah misalnya membuatkan saya ingin melakukan sesuatu demi orang Sabah secara amnya dan penduduk Tambunan secara khususnya.

“Banyak sektor yang ingin saya tambah baik seperti teknologi, pendidikan, internet dan banyak lagi yang masih dipandang sebelah mata di negeri Sabah.

“Untuk itu, saya percaya kita perlu orang yang sentiasa turun padang untuk merasai sendiri masalah yang dihadapi penduduk,” jelasnya.

Namun, Rich enggan memberitahu jika benar dia ingin bertanding dalam PRN, parti politik mana yang akan disertainya atau sekadar bertanding sebagai calon bebas.

Rich sebelum ini memuatnaik sekeping gambar di akaun Instagramnya yang memaparkan dirinya sebagai calon N32, Tambunan.

Menerusi poster tersebut, tertulis slogan Berkhidmat Mulai Sekarang! yang juga menjadi sebahagian daripada perancangan Rich.

Jelas Rich, buat masa ini dia ingin melawat kesemua 70 buah perkampungan di Tambunan, Sabah untuk mengenali setiap penduduk sebagai persediaannya untuk menjadi wakil rakyat.

Sebelum ini, Jimmy Palikat yang terkenal dengan lagu Anak Kampung umum bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan untuk PRN16 yang akan berlangsung pada 26 September ini. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button