Selebriti perlu turun hulur bantuan waktu Ramadan
GOLONGAN selebriti sepatutnya menggunakan menggunakan pengaruh dan platform mereka untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan.
Menurut penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun, masih terlalu ramai golongan yang susah terutamanya di kawasan bandar.
“Mereka ini antara yang memberi sokongan dalam kerjaya seni kita dan bila tibanya bulan Ramadan, tibalah masa untuk kita pula menyantuni mereka.
“Kita gunakanlah apa sahaja pengaruh dan platform kita untuk membantu mereka dan sama-sama menghulurkan bantuan,” katanya.
Hafiz berkata demikian ketika ditemui pada majlis Raikan Ramadan – Mega Agihan Ramadan anjuran Yayasan Maghfirah yang berlangsung di Program Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Kerinchi, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ditanya mengenai pengalamannya bertemu dengan golongan susah ini, Hafiz berkata ada yang langsung tidak mempunyai bekalan makanan berpuasa selama sebulan.
“Kita hantar bantuan pek makanan dan itulah yang mereka akan simpan dan makan untuk kegunaan berbuka dan bersahur.
“Kalau anak ramai, bekalan itu mungkin tidak cukup dan itu amat menyentuh hati saya bila mengenangkan nasib mereka ini jika tidak dibantu,” katanya.
Turut hadir dalam program berkenaan ialah pelakon, Syatilla Melvin.
BANTUAN
Dalam pada itu, Hafiz sebagai duta kepada program Raikan Ramadan anjuran Yayasan Maghfirah itu berkata, bantuan turut dihulurkan kepada golongan anak yatim, orang kelainan upaya dan pesakit HIV.
Pada majlis tersebut, sebanyak 600 pek Ramadan yang mengandungi bekalan makanan telah diagihkan. Semenara itu, pihak Yayasan menyasarkan 5,000 kotak bakal diedarkan sepanjang bulan ke beberapa PPR lain.
Duit raya sebanyak RM50 juga turut disertakan dalam setiap pek Syawal. Ia termasuk 6,000 pek iftar yang juga telah diagihkan bermula 1 Ramadan lalu dengan sasaran 35,000 penerima manfaat.
Bagi yang ingin sama-sama menghulurkan bantuan untuk mereka yang memerlukan, boleh salurkan derma menerusi akaun Maybank Yayasan Maghrifah 562263552802. -SM