Selangor susun banyak inisiatif bantu rakyat teruskan kehidupan
KERAJAAN Selangor komited untuk membantu rakyatnya meneruskan kehidupan pasca Covid-19 menerusi pelbagai inisiatif ekonomi dan bantuan kemahiran.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya mengambil maklum saat menggetirkan rakyat apa yang ada yang dibuang pekerjaandan terpaksa menutup operasi perniagaan kerana pandemik Covid-19.
“Disebabkan itu, kita telah menyusun banyak inisiatif bagi membantu rakyat yang kehilangan punca rezeki untuk bangkit meneruskan kehidupan dengan bermaruah.
“Bermula dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin yang pertama sehingga yang ketiga, beberapa langkah segera serta yang berjangka panjang telah diambil bagi meningkatkan kecekalan ekonomi rakyat.
“Beberapa cukai telah diberi penangguhan, sementara beberapa kelonggaran turut diberikan dan ditanggung kosnya oleh Kerajaan Negeri untuk mengurangkan kesempitan yang dideritai rakyat saat ini,” katanya dalam perutusan tahun baharu 2021.
Menurut Amirudin, pihaknya turut membina lebih banyak pekerjaan antaranya termasuklah inisiatif Niaga Darul Ehsan (NaDi) yang memberi pinjaman perniagaan serendah RM1 ribu untuk rakyat Selangor memulakan perniagaan.
Ujar beliau, lain-lain program termasuklah Selangor Kerjaya dengan latihan dan bimbingan ataupun new skilling, upskilling dan reskilling serta Selangor Freelancer bagi semua yang memerlukan fleksibiliti dalam meraih punca rezeki dengan memanfaatkan bakat-bakat sedia ada.
“Kita juga secara agresif mempersiapkan beberapa platform agar rakyat tidak kira kaum, usia atau jantina agar dapat sama-sama menyertai ekonomi gig dengan mengadakan E-Kitchen bersama Grab dan juga jualan dalam talian E Bazaar bersama Shopee.
“Turut dibantu adalah mereka yang mahu berkhidmat bersama syarikat-syarikat e-hailing tetapi tidak mempunyai lesen motosikal dan kita bantu dengan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE),” katanya.
Jelasnya lagi, program seperti Bantuan Yuran Universiti (BaYU) dan Pusat Tuisyen Rakyat tetap diteruskan agar anak-anak muda yang terjejas pengajian mereka, yang disebut ‘the lost generation’ akibat wabak Covid-19 ini, tetap terjamin kelangsungan pembelajaran dan perkembangan intelektual mereka.
Amirudin berkata, geran berjumlah RM100 juta menerusi Selangor Innovation Fund juga dilihat bakal memanfaatkan para pengusaha startup serta usahawan untuk meneroka teknologi baharu.
“Kita berhasrat untuk melahirkan syarikat ‘unicorn’ yang akan menghasilkan berbilion dollar dan benar-benar melampaui Malaysia dan pergi lebih jauh di pentas dunia,” tambahnya. -SM