“SELAMAT bergembira bersama seisi keluarga kepada semua rakyat Perlis yang menyambut Hari Krismas pada 25 Disember”
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda Baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Dalam titah itu Baginda berdua dan anakanda-anakanda juga berharap semoga semangat kasih sayang, saling menghormati, bertolak-ansur dan perpaduan terus segar dan sentiasa dipertambah baik di kalangan masyarakat majmuk di negeri ini.
Raja Muda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bernilai USD112.
Dalam kenyataan media MAIPs, sumbangan itu diberikan kepada Masjid At-Taqwa, Jalan Wonosari Kelurahan Kota Baru, Kecamatan Teluk Sebong Kabupaten Bintan, Kepulauan Riau, Indonesia yang diterima oleh Ahli Jawatankuasanya, Bapak Parlian pada pagi ini.
Berangkat sama mengiringi Baginda ialah anakanda-anakanda Sharifah Khatreena Nuraniah dan Syed Sirajuddin Areeb Putra.
Tuanku Syed Faizuddin dalam titah juga mengingatkan rakyat supaya menggunakan minggu terakhir cuti persekolahan dihujung tahun ini untuk ‘makan angin’ atau yang menghantar anak-anak atau jagaan masing-masing pulang ke asrama supaya berhati-hati di jalan raya.
Titah Baginda, sentiasalah membuat perancangan awal sebelum bertolak demi untuk keselamatan diri sendiri dan juga seisi keluarga tersayang. – SM