Selain 7 Perkara Ini, Jangan Jemur Baju Dengan Penyangkutnya Semasa Basah!
Ramai yang gemar mengambil mudah cara jemur baju walaupun nampak macam senang padahal jika tidak betul caranya, boleh rosak baju.
Maka dengan itu, Suara Merdeka ingin berkongsi tip tentang cara jemur baju yang baik agar baju yang kita beli dan pakai boleh tahan lama.
1. ELAK JEMUR PAKAIAN DENGAN PENYANGKUT BAJU
Ketika menjemur pakaian, elakkan menggunakan penyangkut baju. Hal ini adalah untuk mengelakkan bahagian leher baju menjadi besar dan mengelebeh kerana semasa pakaian dalam keadaan basah, air akan menarik bahagian leher ke bawah hingga jadi melebar.
2. KURANGKAN GUNA PELUNTUR
Yang ini pasti sering digunakan oleh ramai orang jika baju anda alami tompok-tompok kan? Kalau boleh, elakkan atau kurangkan penggunaan bahan peluntur pada pakaian kerana peluntur seperti clorox mempunyai kandungan kimia yang sangat kuat. Ia akan menjadikan pakaian tersebut mudah reput dan tidak tahan lama.
3. JANGAN RENDAM PAKAIAN TERLALU LAMA
Cukup sekadar rendam baju anda selama 30 minit. Bukannya dua atau tiga hari sampai air berbau hapak. Sesetengah sabun mencuci pakaian mengandungi bahan yang boleh merosakkan pakaian dan akan membuatkannya tidak tahan lama.
4. JANGAN SENTAL PAKAIAN DENGAN BERUS TERLALU KUAT
Fabrik pakaian akan rosak sekiranya diberus dengan terlalu kuat. Contohnya, tudung atau selendang tidak perlu di berus, sebaliknya cukup sekadar digosok menggunakan tangan kerana jenis fabriknya yang jauh lebih lembut daripada pakaian lain.
5. JEMUR PAKAIAN BASAH DENGAN SEGERA
Terus jemurkan cucian yang telah siap dibasuh dan dibilas dengan kadar segera. Jangan tangguh kerana jika dibiarkan tidak bersidai, pakaian yang basah akan bertahi lalat dan berbau busuk.
6. JANGAN PERAH PAKAIAN TERLALU KUAT
Memerah pakaian terlalu kuat akan membuatkan pakaian itu cepat rosak ataupun koyak. Pakaian dalam pula tidak perlu diperah, cuma cukup sekadar dipicit-picit atau ditekan supaya airnya kering.
7. TERBALIKKAN PAKAIAN KETIKA DIJEMUR
Sinar matahari dapat mengakibatkan warna pakaian menjadi pudar dan lusuh. Oleh itu, terbalikkan pakaian terlebih dahulu sebelum dijemur supaya bahagian luarnya tidak terkena cahaya matahari secara langsung.
8. ASINGKAN PAKAIAN MENGIKUT WARNA DAN JENIS / MATERIAL
Pisahkan pakaian berwarna dengan pakaian putih kerana berkemungkinan untuk warna dari t-shirt merah anda boleh luntur dan melekat pada kemeja putih. Pisahkan juga cucian anda mengikut material kerana terdapat fabrik yang sensitif dan perlu pemerhatian teliti.